Asrama SMK Tebedu terbakar, pelajar selamat

in Edisi Sabah Sarawak by


KUCHING – Empat belas pelajar lelaki terselamat selepas sebuah bilik asrama Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tebedu di Serian kira-kira 100 kilometer dari sini terbakar hari ini.


Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 6.55 pagi, sebelum sepasukan lima anggota bersama sebuah jentera dan sebuah ambulans Perkhidmatan Perubatan Kecemasan (EMRS) daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Serian digerakkan ke lokasi kejadian.


Beliau sepasukan tiga anggota pasukan bomba sukarela (PBS) Bunan Gega turut membantu operasi itu.


“Bangunan asrama struktur kekal tiga tingkat tersebut menempatkan 286 pelajar, namun  kebakaran   hanya melibatkan sebuah bilik asrama lelaki di tingkat satu yang menempatkan 14 pelajar.


“Anggota yang tiba di lokasi mendapati kebakaran telah berjaya dipadamkan oleh pihak sekolah  menggunakan 35 alat pemadam api dan satu saliran salur bantu mula dari bangunan sekolah,” katanya dalam satu kenyataan di sini pagi ini.


Beliau berkata, anggota bomba yang tiba di lokasi bertindak membuat pemadaman sisa-sisa kebakaran yang masih ada untuk mengelak api hidup semula.


“Kejadian tidak melibatkan kecederaan, siasatan lanjut untuk mengenal pasti punca kejadian masih dijalankan,” katanya. – Bernama


Source: SH Edisi Sabah Sarawak

[featured-video-plus]