Kakitangan HTAR alami keracunan makanan

in Edisi Selangor KL by


KLANG – Kira-kira 70 kakitangan Jabatan Anestesiologi Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) di sini mengalami keracunan makanan selepas dipercayai makan makanan tercemar.


Memetik kenyataan laporan sebuah akhbar, Pengarah HTAR, Dr Ding Lay Ming berkata, pihaknya mengesahkan insiden berkenaan dan memaklumkan keracunan dipercayai berpunca daripada makanan disediakan oleh syarikat katering dari luar hospital.


“Siasatan awal mendapati kemungkinan keracunan makanan berlaku selepas kakitangan makan makanan disajikan selepas mesyuarat jabatan berkenaan Rabu lalu.


“Pengurusan hospital bersama-sama dengan pasukan klinikal sudah menguruskan keadaan dengan baik bagi memastikan operasi hospital berjalan lancar,” katanya.


Beliau dalam pada itu berkata, semua pembedahan kecemasan dan perkhidmatan rawatan intensif berjalan seperti biasa berikutan insiden itu hanya membabitkan kakitangan satu jabatan.


Bagaimanapun, katanya, beberapa pembedahan elektif dijadual pada semalam dan hari ini ditangguhkan.


“Bantuan dan kerjasama berpasukan yang hebat dari semua pihak yang terbabit membolehkan perkhidmatan bilik bedah kini sudah kembali seperti biasa.


“Pihak berkuasa dari Kementerian Kesihatan juga akan melakukan tindakan pemulihan diperlukan dan kami menunggu keputusan siasatan penuh,” katanya dipetik berkata menerusi laporan akhbar itu.


Dalam kes sama Dr Ding menafikan keracunan makanan itu berkait dengan demam kepialu.


Terdahulu, sebuah portal berita melaporkan kira-kira 50 kakitangan di Jabatan Anestesiologi HTAR mengalami keracunan makanan sejak Khamis selepas menghadiri mesyuarat mingguan jabatan itu.


Source: SH Edisi Sel KL

[featured-video-plus]