Maqis rampas bahan seludup makanan, pertanian RM2.3j

in Edisi Selangor KL by


PUTRAJAYA – Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) berjaya  menumpaskan 27 kes kegiatan penyeludupan barang pertanian dan makanan ke negara ini tanpa permit yang sah dengan nilai rampasan RM2.3 juta pada tahun lepas.


Ketua Pengarah Maqis, Datuk Mokhtarud-din Husain berkata, kebanyakan kes melibatkan kemasukan produk pertanian seperti susu tepung, karkas ayam sejuk beku, daging ruminan sejuk beku, tilapia merah, ikan terproses, makanan haiwan cheddar cheese dan udang sejuk beku.


Menurutnya, sembilan kes telah dijatuh hukum, dua kes dalam perbicaraan, satu kes dibawa ke mahkamah dan 15 kes masih dalam siasatan.


Dalam sidang media di sini hari ini, Mokhtarud-din berkata, dalam kes terbaharu pada bulan lepas, Maqis  berjaya menahan dua kontena yang mengandungi pelbagai bahan makanan seperti produk daging sejuk  beku dan produk hasilan laut seberat 9,692kg yang cuba diseludup dari Hong Kong.


“Bahan rampasan tersebut ditemukan di bahagian belakang kontena yang diisytiharkan sebagai produk  mi dan hasil pemeriksaan mendapati kesemua barang tersebut tidak mempunyai import permit daripada Maqis, Sijil Kesihatan Veterinar dari negara pengeksport dan sijil halal daripada badan yang diiktiraf negara  pengeksport,” katanya.


Mokhtarud-din berkata, Maqis, iaitu jabatan di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani,   bertanggungjawab untuk mengawal aktiviti import, eksport, pemeriksaan, kuarantin dan penguatkuasaan bagi apa-apa tumbuhan, binatang, karkas, ikan, keluaran pertanian atau mikroorganisma.


Setakat ini, katanya kira-kira 300 pegawai ditempatkan di 57 pintu masuk dan keluar di Semenanjung Malaysia untuk menjaga aktiviti import dan eksport barang pertanian.


“Tanggungjawab Maqis adalah penting dalam memastikan segala bahan pertanian yang dibawa masuk ke negara ini bebas daripada penyakit selain mempunyai sijil hasil bagi bahan makanan yang berkaitan untuk membolehkan rakyat membeli barangan di pasaran tanpa rasa bimbang,” katanya.


Justeru, Mokhtarud-din menyeru kepada pihak pengimport untuk mematuhi undang-undang dan peraturan yang ditetapkan kerajaan dalam menjaga biosekuriti negara bagi memastikan setiap hasil pertanian dan produk makanan yang diimport adalah selamat, berkualiti dan halal. – Bernama


Source: SH Edisi Sel KL

[featured-video-plus]