Mohamad enggan peduli kritikan

in Edisi Melaka Negeri Sembilan by


SEREMBAN – “Walaupun ketua pembangkang Negeri Sembilan kata itu satu mimpi di siang hari, tidak apalah. Tapi saya sambung sampai malam.


“Dia hendak kata saya mimpi atau apa sekali pun, biarlah. Saya mempunyai matlamat dan cita-cita. Saya akan buat kerja untuk mencapai matlamat tersebut,” ujar Pengerusi BN negeri, Datuk Seri Mohamad Hasan.


Demikian respons beliau apabila hasrat BN untuk menawan kembali Parlimen Seremban dan Telok Kemang sebagai hadiah kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, diperlekehkan.


Mohamad yang juga Menteri Besar sebaliknya menegaskan, tidak mustahil untuk meraih kemenangan di kedua-dua kawasan terbabit pada PRU14 sekiranya ada kesepaduan dalam parti.


“Jadi saya mohon kepada semua yang mengaku sebagai ahli parti, akurlah pada keputusan pucuk pimpinan. Sebab sebelum pucuk pimpinan memilih dan menamakan mana-mana calon, tapisan rapi telah dibuat.


“Maka calon yang difikirkan terbaik akan diberi mandat dan ditauliahkan untuk mewakili parti pada pilihan raya. Apabila itu berlaku, mari kita sama-sama buat gerak kerja.


“Senang-senang boleh menang lima Dun. Senang-senang boleh menang di Parlimen Telok Kemang. Kalau kita buat betul-betul, Parlimen Seremban pun akan jadi milik kita,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco di Wisma Negeri di sini, kelmarin.


Sinar Harian sebelum ini melaporkan, Pengerusi Pakatan Harapan Negeri Sembilan, Aminuddin Harun menyifatkan cita-cita tinggi BN sekadar retorik bagi menaikkan semangat penyokong dan menarik pengundi.


Menurut beliau, bukan mudah untuk merampas kedua-dua kerusi berkenaan memandangkan sudah berada dalam penguasaan DAP dan PKR sejak dua penggal lalu.


Source: SH Edisi Melaka NS

[featured-video-plus]