BN Kuala Pilah ada muka baharu?

in Edisi Melaka Negeri Sembilan by


KUALA PILAH – BN Kuala Pilah yakin akan ada calon muka baharu untuk bertanding pada PRU14.


Penyelaras PRU14 BN Kuala Pilah, Datuk Ismail Lasim berkata, pemilihan calon baharu itu seiring dengan transformasi BN.


“Siapa pun calon yang dipilih oleh pucuk pimpinan teratas, jentera BN Kuala Pilah akan mendokong sepenuhnya serta memberi kerjasama bagi membawa kemenangan BN untuk lima kerusi Dun dan satu kerusi parlimen.


“Saya yakin dengan adanya muka baharu kelak, rekod tanpa kalah tetap milik kita. Jika kita bersatu hati, merapatkan saf, pasti kejayaan berpihak kepada BN,” katanya.


Ditanya senarai calon, beliau yang juga Ketua Umno Bahagian berkata, pihaknya menghantar lima nama bagi setiap kerusi parlimen dan Dun ditandingi Umno untuk pertimbangan.


“Ini metodologi baru pemilihan calon yang dilakukan parti dan difahamkan nama itu akan disaring untuk memilih calon terbaik.


“Sehingga kini, tidak ada mana-mana individu lagi yang sudah diputuskan untuk menjadi calon PRU14, namun kita yakin akan ada muka baru,” katanya.


Beliau ditemui selepas pelancaran jentera BN PRU14 Kuala Pilah dengan tagline Pilah Monang di Dewan Datuk Bahaman Shamsudin di sini, semalam.


Hadir sama menyempurnakan pelancaran, Naib Presiden Umno, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, diiiringi Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Seri Hasan Malek, bersama ahli jawatankuasa BN Kuala Pilah serta sayap-sayap parti kompenan BN.


Dalam pada itu, Ismail berkata, meskipun BN Kuala Pilah mempunyai rekod terbaik pada PRU lalu, dan belum tewas kepada pembangkang tetapi ia bukan titik tolak untuk berasa selesa.


“Kita tidak over confident, sebaliknya sentiasa berhati-hati. Semua Pusat Daerah Mengundi (PDM) telah dibuka iaitu sebanyak 56 PDM seluruh Parlimen Kuala Pilah.


“Persediaan PDM juga hampir 90 peratus dan pastinya jentera telah siap siaga, bekerja keras bagi menghadapi PRU14,” katanya.


Ismail yang juga Adun Senaling berharap, rakyat menerima dan memberi sokongan padu kepada sesiapa jua calon yang dipilih pucuk pimpinan parti dan yakin Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak selaku Pengerusi BN membuat pilihan terbaik untuk memastikan kemenangan BN pada PRU14.


Untuk rekod, Umno kekal bertanding di lima kerusi Dun iaitu N15 Juasseh, N16 Seri Menanti, N17 Senaling, N18 Pilah dan N19 Johol serta P129 Kuala Pilah bagi PRU13 dan PRU14, tiada perubahan pertukaran kerusi.


Source: SH Edisi Melaka NS

[featured-video-plus]