Ditempatkan sementara di PPR Jalan Laksamana

in Uncategorized by


TELUK INTAN – Dua keluarga yang tinggal sehelai sepinggang selepas kediaman mereka terbakar Rabu lalu akan ditempatkan sementara di Flat Projek Perumahan Rakyat (PPR) Jalan Laksamana.


Ahli Parlimen Teluk Intan, Datuk Seri Mah Siew Keong berkata, kedua-dua keluarga berkenaan akan dipindahkan segera ke rumah tersebut selepas hilang tempat tinggal dalam kejadian kebakaran di Jalan Jawa, di sini.


“Petang ini (kelmarin) saya melawat mangsa kebakaran daripada enam keluarga yang mana dua daripada mereka hilang tempat tinggal dan bakinya mengalami kerosakan rumah.


“Selepas berbincang dengan pelbagai pihak kedua-dua keluarga ini akan ditempatkan di PPR Jalan Laksamana untuk sementara waktu,” katanya kepada pemberita selepas melawat mangsa di Dewan Bandaran Majlis Perbandaran Teluk Intan (MPTI), petang kelmarin.


Menurut Siew Keong, empat lagi keluarga yang kediaman mereka rosak akan diberi bantuan baik pulih rumah dengan kadar segera supaya mereka dapat pulang ke kediaman masing-masing.


“Saya ingin melahirkan rasa bersedih dan dukacita dengan kejadian yang tidak diingini ini dan berharap kesemua mangsa tabah.


“Kami juga sudah memberikan bantuan kecemasan segera kepada mangsa dan bantuan selanjutnya pula telah diaturkan untuk meringankan beban mangsa-mangsa terlibat,” katanya.


Siew Keong yang juga Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi berterima kasih kepada pihak bomba, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta orang ramai yang membantu memadamkan kebakaran tersebut.


Source: SH Edisi Perak

[featured-video-plus]