Dua remaja maut motosikal bertembung kereta

in Uncategorized by


BAGAN SERAI – Dua remaja perempuan maut apabila motosikal dinaiki bertembung dengan sebuah kereta di Batu 10 Jalan Kerian, Semanggol, di sini petang semalam.


Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Omar Bakhtiar Yaacob berkata,  dalam kejadian jam 6.10 petang, penunggang Nur Aimi Zahirah Ghazali 19, bersama pembonceng yang juga rakan mangsa, Nurul Izzati Abdul Wahab 19, disahkan maut di lokasi kejadian.


Menurutnya, mangsa dan rakannya yang menunggang motosikal bernombor pendaftaran AKP 1647, dalam perjalanan dari Semanggol menghala Kamunting, Taiping.


“Siasatan awal di lokasi kejadian mendapati motosikal dinaiki mangsa dan rakannya masuk ke laluan bertentangan dan bertembung dengan sebuah kereta Honda dipandu seorang wanita berusia 49 tahun.


“Kemalangan terbabit menyebabkan kedua-dua mangsa maut di lokasi kejadian akibat kecederaan parah.


“Kedua-dua mangsa dibawa ke Hospital Parit Buntar untuk bedah siasat dan kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pegangkutan Jalan 1987,” katanya kepada media di sini hari ini.


Omar Bakhtiar berkata, siasatan lanjut masih lagi dijalankan berhubung kejadian.


Sementara itu, Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bagan Serai, Anuar Rashid berkata, seorang mangsa tercampak ke cerun berkedalaman lima kaki di lokasi kejadian.


Menurutnya, anggota bomba menggunakan peralatan khas bagi mengangkat mangsa.


“Pihak kami kemudiannya menyerahkannya kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya.

 


Source: SH Edisi Perak

[featured-video-plus]