Guru, ibu bapa perlu sefahaman

in Edisi Melaka Negeri Sembilan by


SEREMBAN – “Jangan ada lagi kes seperti Cikgu Azizan”. Demikian nasihat Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan semasa berucap pada Majlis Perasmian Surau Sekolah Dan Dewan Terbuka Berbumbung Serta Penyampaian Bantuan Khas Persekolahan 1Malaysia, Sekolah Kebangsaan Datuk Akhir Zaman Rantau, kelmarin.


Tegas beliau, persefahaman antara guru dan ibu bapa sangat penting dalam memastikan matlamat mendidik anak-anak dapat dicapai dengan mudah.


Menurutnya, jika ada perkara berbangkit, ibu bapa dinasihatkan merujuk terlebih dahulu dengan Yang Dipertua PIBG sebelum membuat tindakan selanjutnya.


“Saya tidak mahu ada lagi kes seperti cikgu Azizan, yang terpaksa dibawa ke mahkamah kerana memukul atas niat mendidik.


“Tugas hakiki seorang guru adalah mendidik anak-anak agar menjadi orang yang baik dan bijak pandai.


“Ibu bapa perlu tahu peranan guru yang sebenar, niat mereka murni untuk mendidik anak kita, janganlah ibu bapa terlalu beremosi sangat dan guru pula janganlah melampaui batas dibenarkan,” katanya.


Pada majlis tersebut, Mohamad yang juga Adun Rantau, menyampaikan sumbangan bantuan awal persekolahan kepada 244 murid di Sekolah Kebangsaan Akhir Zaman.


Turut diadakan penyerahan surau baharu kepada sekolah sumbangan Menteri Besar.


Dalam pada itu, Mohamad mengingatkan kepada pihak sekolah agar sentiasa bersama masyarakat dan jangan sesekali mengasingkan diri.


Katanya, sekolah dan masyarakat tidak boleh berpisah, setiap program serta tindakan yang dilakukan perlu bersama ibu bapa dan masyarakat setempat.


Source: SH Edisi Melaka NS

[featured-video-plus]