Mayat remaja lemas ditemui

in Uncategorized by


SEBERANG MANONG – Mayat seorang lelaki yang dikhuatiri lemas di Kampung Bekor pada tengah malam Khamis lalu ditemukan, pagi tadi.


Ketua Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Kangsar, Mohd Taufiq Abd Sattar mengesahkan penemuan mayat tersebut ketika dihubungi.


Menurutnya, mayat Muhammad Aiman Asyraf, 22, ditemui pada jam 10.53 pagi berhampiran Kampung Tepus, Tanjung Belanja.


“Mayat mangsa ditemui terapung di permukaan air pada jam 10.53 pagi tadi. Jarak mangsa dijumpai kira-kira lima kilometer dari lokasi mangsa jatuh.


“Operasi pencarian bermula pada 1 Mac lalu dengan anggota melakukan pencarian di permukaan dan kawasan dalam sungai.


“Pencarian bermula dari kawasan Kampung Bekor hingga ke Tanjung Belanja. Mangsa dijumpai anggota bomba dan dinaikkan di jeti Tanjung Belanja,” katanya.


[ARTIKEL BERKAITAN: Lemas di Sungai Perak]


Tambah Mohd Taufiq, mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.


Ujarnya lagi, lebih 40 anggota agensi keselamatan dan 10 penduduk kampung membantu operasi pencarian mangsa yang bermula pada 1 Mac lalu.


“Lima bot agensi digunakan dalam operasi itu dan beberapa bot penduduk kampung turut ikut serta.


“Menurut maklumat disampaikan, mangsa dikatakan sedang mencari udang dan ketika kejadian, mangsa mahu menyeberang Sungai Perak.


“Apabila mangsa berada di tengah sungai, mangsa dipercayai telah terjatuh ke kawasan air dalam dan dibawa arus deras,” ujarnya.


Tambahnya, beberapa orang awam yang berada berhampiran cuba menyelamatkan mangsa namun gagal berbuat demikian.

 


Source: SH Edisi Perak

[featured-video-plus]