Najib sentiasa mahukan rumah terbaik untuk rakyat: Idris

in Edisi Melaka Negeri Sembilan by


MELAKA, 3 Mac (Bernama) — Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sentiasa mahukan rakyat memiliki rumah terbaik mengikut kemampuan mereka bagi memastikan kehidupan yang selesa dan terjamin.


Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Idris Haron berkata usaha itu, yang bukan sekadar janji, adalah untuk memastikan rakyat dapat menjalani kehidupan lebih baik dengan memiliki rumah sendiri.


Beliau berkata Najib merupakan satu-satunya perdana menteri yang mengutamakan agenda perumahan dan layak digelar ‘Bapa Perumahan Negara’.


“Perdana Menteri merupakan seorang yang konsisten dan tidak pernah berputus asa dalam isu berkaitan pembinaan rumah khususnya rumah mampu milik. Beliau memberi peluang seluas-luasnya kepada pemaju perumahan terutama Suruhanjaya Perumahan Nasional Berhad (SPNB) untuk menyediakan rumah mampu milik untuk rakyat.


“Beliau bukan sahaja ingin memastikan rumah yang dibina itu selesa dari segi fizikal namun menepati keperluan semasa. Beliau pernah berpesan kepada saya ketika saya di SPNB agar menyediakan rumah terbaik untuk didiami rakyat,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan pejabat baharu  Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan (REHDA) Melaka di sini, hari ini.


Turut hadir Presiden REHDA Datuk Seri Fateh Iskandar Mohamed Mansor dan Pengerusi REHDA Melaka Datuk Seri Ngoh King Hua.


Idris mengulas catatan Najib mengenai program perumahan rakyat dalam blognya semalam bahawa kerajaan memperuntuk RM6 bilion supaya rakyat dapat memiliki rumah Program Perumahan Rakyat (PPR) dengan harga RM35,000 di Semenanjung dan RM42,000 di Sabah dan Sarawak yang mana sebanyak RM80,000 sehingga RM120,000 subsidi telah disalurkan kerajaan untuk setiap unit.


Projek rumah mampu milik berkenaan merupakan satu daripada kejayaan terbesar kerajaan kerana berjaya menyiapkan 83,759 unit rumah melalui 120 projek PPR untuk golongan yang memerlukan.


Sementara itu, Idris berkata usaha menyediakan rumah mampu milik yang digagaskan Najib turut diberi perhatian khusus dalam membangunkan projek perumahan di Melaka.


Beliau berkata kerajaan negeri sentiasa bekerjasama dengan kerajaan persekutuan dan pemaju perumahan dalam merealisasikan agenda projek perumahan mampu milik dan sehingga kini sebanyak 58,717 unit rumah mampu milik. -BERNAMA


Source: SH Edisi Melaka NS

[featured-video-plus]