Bimbang ancaman ratusan kera liar

in Edisi by


TANGKAK – Bukan setakat membuat kacau dengan mengganggu bungkusan sampah sarap selain berani masuk ke rumah mencuri makanan, namun sekumpulan kera liar turut bertindak ganas apabila merosakkan beberapa struktur kediaman penduduk di Kampung Serom 6, Sungai Mati, di sini.


Ketua kampungnya, Ahmad Albi Basir, 58, berkata, ancaman haiwan perosak yang terdiri sehingga ratusan ekor dalam satu-satu masa itu menghantui lebih 300 penduduk sejak sekian lama, bagaimanapun kini lebih agresif sejak dua tiga tahun lalu.


“Kalau dahulu, kumpulan kera ini tak begitu agresif apabila hanya mencuri makanan, sampah sarap dan membuat sedikit kekacauan di kebun-kebun penduduk. Namun, kebelakangan ini, haiwan terbabit yang terdiri kira-kira 80 ekor dalam satu kumpulan itu dilihat semakin mengganas.


“Itu baru satu kumpulan yang menyerang sesebuah kediaman, bayangkan biasanya bila mereka ‘datang’, akan ada kira-kira 10 kumpulan menjadikan jumlah haiwan ini hingga ratusan ekor yang membuat kacau,” katanya kepada Sinar Harian.


Ahmad Albi berkata, kera-kera berkenaan kini berani merosakkan struktur rumah penduduk apabila ada antara mereka yang menggegarkan dinding rumah selain mengopek sebahagian siling.


Katanya, keadaan yang berlarutan beberapa tahun ini akhirnya memaksa penduduk memasang perangkap kera mereka sendiri.


“Kami dah buntu nak halang kera-kera liar ini membuat kacau. Bayangkan haiwan ini berani rosakkan kediaman kami menyebabkan keselamatan penduduk turut terancam. Kita bimbang kalau haiwan liar ini sampai boleh serang penduduk.


“Kasihan mereka kerana terpaksa berhadapan dengan gangguan ini selain turut memberikan sedikit sebanyak kerugian. Oleh itu, kami ambil inisiatif sendiri apabila memasang 10 perangkap kecil di kawasan berisiko sejak tahun lalu. Sangkar ini mampu memuatkan sehingga dua ekor kera sebelum haiwan yang berjaya ditangkap ini akan dikumpulkan di pekarangan kediaman saya yang mana di situ kami sediakan sangkar lebih besar,” katanya.


Ahmad Albi berkata, meskipun kaedah itu tidak mampu menghalang kera berkenaan daripada membuat kacau, namun ia berupaya membantu mengurangkan pelbagai risiko yang dihadapi penduduk.


“Bila dah ditangkap, kami akan bela kera ini untuk sementara waktu sehingga Jabatan Perhilitan datang ambil.


“Selama hampir setahun membuat jerat ini, kami dah berjaya tangkap lebih 300 ekor kera,” katanya yang mengakui kesemua sangkar berkenaan diperoleh hasil kutipan penduduk kampung bersama peruntukan yang diterima daripada Ahli Parlimen Ledang, Datuk Ir Hamim Samuri.


Terdahulu, mukim Serom turut menerima dua sangkar besar sumbangan Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar melalui Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan).


Ahmad Albi berkata, pengagihan perangkap besar yang mampu memuatkan sehingga 22 ekor kera pada satu-satu masa itu diyakini mampu mengurangkan kejadian yang tidak diingini di kampung mereka akibat gangguan kera liar.


Source: SH Edisi

[featured-video-plus]