'Bukan tak tolong, tapi itu pilihan dia'

in Edisi by


SEREMBAN – “Bukan kerajaan tak tolong, tapi itu pilihan dia. Apa lagi yang kita boleh buat,” demikian ulas Pengerusi Gerakan Negeri Sembilan, Datuk Chong Vee Hing berkenaan seorang lelaki yang memilih untuk terus tinggal di dalam pondok usang di tepi jalan di Taman Sri Mawar, Senawang di sini.


Menurutnya, keadaan itu menimbulkan persepsi negatif kepada kerajaan negeri yang dikatakan tidak prihatin membantu sedangkan pelbagai usaha telah pun dilakukan termasuk menawarkan tempat tinggal lebih selesa di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).


“Saya sendiri sudah dua kali melawatnya, beri bantuan makanan dan turut membawanya ke hospital bagi membuat pemeriksaan kesihatan. Umno Cawangan di situ juga tahu mengenainya.


“Tapi, kita tak tahu apa masalah dia, kerana masih memilih untuk tinggal di dalam pondok,” katanya ketika dihubungi.


Masalah lelaki terbabit turut mendapat perhatian Pengerusi Kariah Masjid Taman Rasa Sayang, Zulkifli Muhamad yang pernah membantu dengan menyediakan bilik secara percuma di masjid selain melantiknya sebagai siak tambahan dan diberi upah setiap bulan.


Katanya, pihak masjid rasa bertanggungjawab untuk membantu berikutan lokasi pondok usang lelaki berkenaan di bawah kariah masjid selain saranan menteri besar yang mahu setiap kariah mengambil cakna tentang permasalahan masyarakat di kawasan sekitar.


“Saya sendiri dah turun padang melawatnya pada tiga tahun lalu. Simpati dengan nasibnya, mesyuarat jawatankuasa masjid bersetuju tumpangkan dia tinggal di dalam bilik di masjid secara percuma.


“Kita juga bantu beli peralatan untuk membaiki kasut seperti diminta memandangkan itu sumbernya mencari rezeki. Niat kita supaya dia boleh berdikari,” katanya.


Bagaimanapun katanya, selepas beberapa bulan, lelaki itu menghilangkan diri tanpa memaklumkan kepada pihak masjid.


“Saya pernah cari dia dan tanya kepada dia pergi macam itu, tapi dia beritahu lebih selesa tinggal di tempat lama. Malah saya difahamkan yang Baitulmal pun  ada membantu. Tapi apa lagi yang kita boleh buat, jika itu yang dia pilih,” katanya.


Selain itu Adun Senawang, P Gunasekaran juga membawa permasalahan lelaki berkenaan kepada media sebelum ini dan ada tindakan yang diambil.


Untuk rekod, Sinar Harian beberapa kali bermula tahun 2015 melaporkan kisah Baharuddin Abdul Rahman, 54, yang terpaksa tinggal di sebuah pondok usang di Taman Sri Mawar, Senawang di sini, selepas berpisah dengan isterinya.


Dia juga merupakan penghidap Hepatisis C menyebabkan kesihatannya tidak menentu dan menyukarkannya untuk mencari pekerjaan lain.


Tinjauan ke pondok berkenaan kira-kira jam 3 petang semalam untuk menemui Baharuddin bagaimanapun tidak berhasil kerana dia tiada.


Source: SH Edisi

[featured-video-plus]