Isu curi lampin hanya salah faham

in Edisi by


KUALA KRAI – Isu seorang lelaki didakwa mencuri dua bungkus lampin pakai buang bayi di sebuah pasaraya di sini hanya salah faham dan selesai selepas perbincangan kedua-dua pihak, semalam.


Saiful Iswadi Abd Aziz ,32, dan wakil pasaraya telah berjumpa di Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDNKK) Kuala Krai bersama Ketua Cawangannya, Sulaiman Derahim bagi mengadakan perbincangan isu tersebut.


Saiful Iswadi yang bekerja sebagai pemandu lori meluahkan rasa syukur setelah dapat kerjasama baik dari wakil pasaraya dan Pegawai KPDNKK.


“Malam semalam saya tidak lena tidur, hanya teringat perkara ini, bukan itu sahaja ,saya tidak dapat bekerja seperti biasa serta tidak selera makan,” katanya kepada Sinar Harian.


Katanya, dia turut gembira pihak pasaraya akan memulangkan wang denda sebanyak RM598 .


“Kejadian Jumaat lalu menjadi pengajaran buat saya lebih berhati-hati selepas ini sewaktu berurusan di pasaraya,” katanya.


Sementara itu, Sulaiman berkata, masalah ini diselesaikan dengan baik dan berharap kedua-dua pihak mengambil pengajaran daripada kes tersebut.


Menurutnya, pihak pasaraya boleh menambah baik pengurusan di premis mereka agar kes sama tidak berulang sementara  Saiful Iswadi perlu lebih berhati-hati memastikan semua barang dibayar terlebih dahulu sebelum keluar premis.


“Pihak pasaraya juga berhasrat memberikan penghargaan kepada Saiful Iswadi kerana kes ini pasaraya tersebut berjaya mengenal pasti pengurusan seterusnya dapat melakukan penambahbaikan selepas ini,” katanya.


Semalam, Sinar Harian menyiarkan keluhan Saiful Iswadi yang dikenakan denda RM598 selepas didakwa mencuri dua bungkus lampin pakai buang yang setiap satu berharga RM29.90 di pasaraya tersebut.


Dia mendakwa tidak mengetahui juruwang bertugas tidak mengira kesemua barangan dalam trolinya memandangkan dia meninggalkan trolinya seketika untuk menukar barang seperti diarah juruwang bertugas.


Sekembali ke meja juruwang dia terus membuat pembayaran dan menolak troli keluar sebelum ditegur kakitangan pasaraya itu dia belum membuat bayaran dua bungkus lamping pakai buang.


Kes ini tular di laman sosial selepas kejadian menimpanya dimuat naik isterinya dilaman sosial.


Source: SH Edisi Kelantan

[featured-video-plus]