Keperluan tubuh Jabatan Air Wilayah Persekutuan: Ongkili

in Nasional by


KUALA LUMPUR – Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Datuk Seri Dr Maximus Ongkili mengakui terdapat keperluan untuk menubuhkan Jabatan Air Wilayah Persekutuan bagi menyelesaikan isu bekalan air di ibu negara.


Beliau berkata cadangan penubuhan jabatan air itu telah lama dibincangkan, namun ia perlu diperhalusi bagi mematuhi Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (Akta 655).


 “Cabarannya adalah saat ini, semua paip dan infrastruktur yang ada termasuk bekalan air adalah dalam konsesi sedia ada oleh kerajaan Selangor tetapi tidak sempurna dan banyak masalah,” katanya ketika ditemui pemberita selepas istiadat pembukaan mesyuarat pertama penggal keenam Parlimen ke-13 di sini, hari ini.


Namun, katanya, cadangan penubuhan jabatan air itu mungkin boleh dilaksanakan segera sekiranya terdapat sumber air mencukupi di kawasan Kuala Lumpur dan Putrajaya untuk memenuhi keperluan pengguna, termasuk menerusi bekalan air bawah tanah, tasik dan penuaian air hujan.


“Perlu dipastikan terlebih dahulu jumlah air yang boleh digunakan sebagai sumber bekalan air bagi Kuala Lumpur dan Putrajaya…ideanya (penubuhan jabatan air) baik dan ada keperluan,” katanya.


Semalam, Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata cadangan penubuhan Jabatan Air Wilayah Persekutuan sudah dikemukakan kepada Kabinet dan kini menunggu keputusan Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau Dan Air.


Media sebelum ini melaporkan bahawa Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur mahu mempunyai jabatan air sendiri bagi membolehkan Kuala Lumpur berdikari dalam urusan air dan tidak lagi bergantung bekalan dari Selangor. -Bernama


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]