Kes beguk bertambah

in Edisi by


KUALA LIPIS – Kejadian kluster mumps atau beguk yang menjangkiti warga Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Kuala Lipis semakin meningkat apabila 17 lagi pelajar sekolah itu disahkan menghidap penyakit berkenaan.


Pengarah Kesihatan negeri, Dr Sha’ ari Ngadiman berkata, ini menjadikan jumlah keseluruhan pesakit 90 orang berbanding 73 termasuk  tiga guru seperti yang dilaporkan sebelum ini.


Menurutnya, walaupun demikian kesemua  mereka berada dalam keadaan terkawal dan tidak menunjukkan sebarang gejala serius serta telah  mendapatkan rawatan susulan.


“Dalam tempoh empat hari sejak 1 Mac hingga semalam (kelmarin), berlaku pertambahan pesakit seramai 17 pelajar yang mana mereka menunjukkan simptom seperti demam, sakit kepala, sakit otot, keletihan, hilang selera makan dan bengkak serta sakit di kelenjar parotid (kelenjar air liur).


“Kita juga bertindak memberikan vaksin  kepada pelajar yang tidak menerima imunisasi beguk bagi mengelak penularan wabak berkenaan,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian semalam.


Beliau berkata, warga sekolah serta ibu bapa yang datang melawat anak-anak mereka di asrama perlu mengambil langkah pencegahan dengan sentiasa menjaga kebersihan tangan, tidak melakukan sentuhan pada pesakit dan memakai topeng muka.


Tambahnya, jangkitan beguk adalah ringan di dalam kebanyakan kes dan boleh sembuh sepenuhnya dalam tempoh dua hingga tiga minggu tanpa komplikasi.


“Beguk biasanya dialami oleh kanak-kanak namun disebabkan oleh ‘herd immunity’ (kekebalan kelompok) kerana kesemua pelajar terbabit tinggal di asrama menyebabkan mudahnya berlaku penularan penyakit tersebut.


“Sehingga kini juga kesemua pelajar di kuarantin di sekolah dan kita berharap kesemua pelajar serta guru sembuh sepenuhnya sebelum cuti persekolahan selama seminggu bermula 17 Mac depan bagi membolehkan mereka pulang ke rumah masing-masing,” katanya.


2 Mac lalu media melaporkan 70 pelajar dan tiga guru SMKA Kuala Lipis dikesan menghidap beguk yang mula dilaporkan pada 20 Februari lepas.


Susulan kejadian wabak itu, aktiviti pendidikan kesihatan telah diberikan kepada semua pelajar dan kakitangan sekolah terlibat.


Penyakit beguk disebabkan jangkitan virus Paramyxovirus dan boleh tersebar melalui titisan cecair pernafasan dan air liur serta melalui sentuhan objek yang tercemar dengan air liur pesakit.


Source: SH Edisi

[featured-video-plus]