Saran pesara MBI sertai Permai

in Uncategorized by


IPOH – Golongan pesara Majlis Bandaraya Ipoh (MBI), disarankan untuk menyertai Persatuan Pesara MBI (Permai), sebagai alternatif pengupayaan diri setelah bersara.


Datuk Bandar, Datuk Zamri Man berkata, Permai sebagai badan sukarela MBI diyakini bakal membantu golongan pesara untuk melibatkan diri dengan pelbagai aktiviti yang dianjurkan.


Menurutnya, menyertai Permai juga akan dapat menyerlahkan lagi peranan golongan pesara ini khususnya sebagai mata dan telinga bagi pihak MBI.


“Selain mengisi masa lapang seperti meningkatkan ilmu agama, kemahiran hidup serta ilmu perniagaan, menyertai Permai juga akan dapat menambahkan lagi ilmu pengetahuan dan kemahiran diri.


“Ini kerana proses pembelajaran tidak pernah berhenti dan ia (proses pembelajaran) adalah sepanjang hayat.


“Selain itu, golongan pesara juga boleh bergiat aktif dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) selain menjadi penyumbang idea dan tenaga kepimpinan bagi memperkasakan lagi peranan NGO tempatan,” katanya.


Zamri berkata demikian ketika berucap sempena Majlis Jasamu Dikenang 2017 di sebuah hotel terkemuka bandar raya, baru-baru ini.


Difahamkan, seramai 71 pesara melibatkan seramai 40 bersara wajib, bersara pilihan (17) termasuk 14 pesara yang meninggal dunia tahun lalu dan diwakili waris masing-masing.


Dalam pada itu, Zamri berkata, selain golongan pesara majlis berkenaan secara keseluruhannya turut memberikan pengiktirafan kepada kakitangan yang masih berkhidmat dengan MBI.


Katanya, pihak MBI amat menghargai segala jasa serta khidmat bakti semua kakitangannya selama ini.


“Kita sangat menghargai sumbangan mereka ini yang telah bersama menyemai bakti bagi menjadikan MBI sebagai pihak berkuasa tempatan (PBT) terbaik di negara ini selain memperolehi penarafan lima bintang.


“Selain itu, Ipoh juga diisytiharkan sebagai bandar raya yang terbersih di negara ini,” katanya lagi.


Source: SH Edisi Perak

[featured-video-plus]