'Seksa tanpa kediaman selesa'

in Edisi Selangor KL by


SABAK BERNAM – Biarpun lapan bulan kebakaran berlalu, perasaan trauma masih menyelubungi kami sekeluarga, apatah lagi seksa rasanya hidup tanpa kediaman selesa,” demikian kata, Siti Muntingah Sardi, 69.


Siti Muntingah berkata, dia bersyukur kerana semuanya itu bakal berakhir tidak lama lagi apabila kerajaan membina sebuah rumah baharu untuk keluarganya dalam waktu terdekat.


Katanya, dia amat berterima kasih kepada Ahli Parlimen Sabak Bernam, Datuk Mohd Fasiah Mohd Fakeh dan Koordinator Pembangunan Persekutuan Dun Sungai Air Tawar, Rizam Ismail yang  mengambil berat dan membantu dari awal kejadian sehingga kini.


“Saya bersyukur sebab wakil rakyat prihatin terhadap nasib kami sekeluarga yang tinggal di pondok buruk sementara,” katanya.


Kediaman Siti Muntingah pada 31 Julai lalu musnah dalam kebakaran di Jalan Haji Yahya, Parit Baru, di sini.


Kejadian turut menyaksikan anak pasangan itu Mohd Nazif Saurani, 49, cedera di bahagian muka selepas cuba membuang kuali berisi minyak panas keluar dari kediaman mereka.


Siti Muntingah memberitahu, dia dan suami Mohd Towir Sajuri, 80, turut bersyukur Mohd Nazif pulih sepenuhnya dari kecederaan yang dialami dan meneruskan pekerjaan seperti sedia kala sebagai pengawal keselamatan.


“Alhamdulilah, saya dan suami banyak memberi kata semangat kepadanya (Nazif) agar bersabar dengan ujian yang dialami dan kini, gilirannya pula membantu kami berdua di sini.


“Dia juga tak kesal tentang apa yang berlaku pada dirinya. Paling penting, dia sanggup berkorban untuk lihat kesenangan ibu bapanya di masa akan datang,” katanya.


Sementara itu, Mohd Fasiah ketika ditemui berkata, rumah yang bakal dibina itu merupakan sumbangan dari Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) di bawah Menterinya Tan Sri Noh Omar.


“Rumah ini merangkumi tiga bilik dan satu bilik air dengan peruntukkan pembinaan dalam lingkungan RM 45, 000 hingga RM 50,000.


“Ini membuktikan kerajaan Persekutuan mengotakan janji dan mengambil berat isu rakyat terutamanya penduduk di kawasan luar bandar,” katanya.


Source: SH Edisi Sel KL

[featured-video-plus]