Biar semua merasa air percuma

in Edisi Johor by


MUAR – PKR menggesa Kerajaan Johor supaya menawarkan caj air bersih percuma kepada seluruh rakyat negeri ini jika benar parti pemerintah itu bersikap peduli kepada penduduk Johor.


Penyelaras PKR Dun Sungai Balang, Naim Jusri berkata, caj air percuma ini perlu diberi kepada seluruh rakyat tanpa mengambil kira taraf ekonomi, kaum dan fahaman politik memandangkan selama ini hanya kumpulan tertentu sahaja yang dikata menikmati tawaran tersebut.


Menurutnya, adalah malang bagi rakyat negeri ini yang diperintah selama 60 tahun oleh BN tetapi bekalan air percuma sebanyak 35 meter padu hanya dapat dinikmati golongan miskin dan miskin tegar sahaja.


“Berbanding Selangor walau baru dua penggal memerintah, seluruh pengguna air berhak menerima rebat air sebanyak 20 meter padu tanpa mengira status ekonomi mereka.


“Dengan mencontohi perlaksanaan dasar tersebut, kerajaan Johor pasti boleh lebih membantu meringankan bebanan kehidupan seluruh rakyat akibat dari kadar kos sara hidup serta inflasi yang tinggi,” katanya.


Naim berkata, seluruh rakyat perlu merasai nikmat pemberian tersebut lebih-lebih lagi apabila Johor kini menjadi negeri termahal mengenakan caj air bersih yang dibekalkan oleh Syarikat Air Johor (SAJ).


Source: SH Edisi Johor

[featured-video-plus]