Kerajaan Selangor sumbang RM6 juta

in Edisi Selangor KL by


AMPANG – Kerajaan Negeri Selangor telah bersetuju memberikan sumbangan sebanyak RM6 juta untuk pembangunan blok tambahan Masjid Darul Ehsan, di sini, semalam.


Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, jawatankuasa Masjid Darul Ehsan meminta beliau untuk melihat pembangunan tambahan pada masjid tersebut.


“Pengurusan Masjid Darul Ehsan antara pengurusan masjid yang terbaik untuk mengimarahkan masjid dengan pelbagai bentuk program,” katanya.


Menurutnya, hampir RM1 juta hasil infak dan sumbangan anak kariah telah diserahkan kepada masjid berkenaan.


“Langkah kerajaan negeri yang juga menyokong pembangunan masjid dan institusi Islam adalah kerana kita melihat peranan masjid dan surau bukan sahaja sebagai pusat ibadah tetapi turut dijadikan pusat pendidikan dan pusat kemasyarakatan,” katanya.


Beliau berkata, kerajaan negeri sudah menyerahkan tiga buah masjid telah siap dibina kepada pengurusan masjid berkenaan.


“Antara masjid tersebut adalah Masjid Zakaria, Masjid Taman Ukay Perdana dan Taman Tun Teja. Kita juga telah memulakan kerja pembangunan Masjid Kampung Klang Gate, kos pembinaan bernilai RM23 juta,” katanya.

 


Source: SH Edisi Sel KL

[featured-video-plus]