Misteri ayam hilang terjawab

in Edisi Utara by


SUNGAI PETANI – Misteri kehilangan ayam di Kampung Rusa Taman Kelisa Ria, Sungai Petani terjawab apabila seekor ular sawa ditemui sedang berehat kekenyangan.


Kakitangan awam, M Sisavan, berkata, dalam kejadian jam 9 pagi itu, dia dikejutkan dengan jeritan jirannya yang memaklumkan terjumpa seekor ular sawa dekat reban ayam di belakang rumah.


Menurutnya, sebelum itu, pemilik reban ayam musykil selepas mendapati bilangan ayam yang dibela tidak mencukupi sebelum memeriksa di sekitar kawasan berkenaan.


“Terkejut nampak ular sawa, jiran terus jerit panggil saya, kebetulan saya cuti dan balik kampung hari ini, saya pun terus pi tengok reban dia,” katanya kepada Sinar Harian.


Menurut Sisavan, mereka mengesyaki ayam hilang menjadi hidangan Sang Batik setelah melihat keadaan reptilia itu yang kekenyangan.


Malah, disebabkan terlalu kenyang, haiwan itu tidak mampu bergerak sebaliknya hanya berehat di satu sudut dekat kandang tersebut.


“Banyak kali kami jumpa ular mai sini sebab ada ayam. Kawasan ini pun agak redup sebab jaraknya kira-kira 20 meter dari belakang rumah,” katanya.


Menurutnya, selain menghubungi Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), mereka juga memanggil penduduk kampung yang berani menangkap haiwan berkenaan sebelum menunggu kedatangan APM.


Sementara itu, Pegawai APM Kuala Muda, Kapten (PA) Azahar Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 10.02 pagi dan bergegas ke lokasi kejadian sejurus kemudian.


Menurut beliau, sebaik sampai ke lokasi, pihaknya mendapati orang awam telah menangkap ular tersebut.


Ular sawa seberat 6 kg dan panjang 5.9 meter itu diletakkan di Rumah Haiwan Pusat Kawalan Operasi Daerah Kuala Muda untuk tindakan lanjut.


Source: SH Edisi Utara

[featured-video-plus]