PKR guna isu GST raih undi rakyat

in Politik by


KUANTAN – PKR kini bersedia dengan pelbagai strategi terbaik bagi memenangi hati pengundi di seluruh kawasan dan kerusi yang dipertandingkan pada PRU14.


Pengerusi PKR Pahang, Datuk Fauzi Abdul Rahman berkata, rakyat perlu diberi pemahaman yang sepenuhnya dan lebih mendalam mengenai pelaksanaan cukai barang dan perkhidmatan (GST).


Jelasnya, berada dalam sistem demokrasi ini seharusnya mementingkan rakyat dan bukan bertindak memainkan perasaan rakyat dengan perkara-perkara membebankan.


“Sekarang rakyat tentunya sedar rata-rata berhadapan dengan kehidupan yang susah terutama dalam ekonomi harian.


“Mungkin ramai menteri boleh bercakap mengenai kemajuan negara yang sudah dicapai pada tahan tinggi tetapi mereka lupa dalam masa sama rakyat semakin ditindas terutama contoh paling nyata melalui pembayaran cukai seperti GST.


“Paling menyedihkan apabila orang kampung sama ada susah mahupun senang yang masih belum faham dan mengerti setiap hari perlu berhadapan dengan perkara ini,” katanya ketika ditemu bual Sinar Harian, di sini, semalam.


Fauzi yang juga Ahli Parlimen Indera Mahkota berkata, rakyat boleh faham jika kerajaan menyatakan salah satu sumber pendapatan negara diperoleh daripada sistem pembayaran cukai, namun begitu tidak seharusnya dilambakkan sepenuhnya kepada rakyat.


Beliau bagaimanapun berkata, pihaknya bukan menyatakan bahawa negara perlu bertindak mengosongkan cukai sehingga tidak boleh mengeluarkan cukai langsung, namun jangan sampai membebankan rakyat terutama golongan marhaen.


“Perkara ini merupakan satu isu bagi kepentingan rakyat. Kita semua tahu rakyat tidak sepatutnya dihimpit dengan kos hidup tinggi termasuk kenaikan harga barang disebabkan pelaksanaan GST ini,” katanya.


#prusinar


#aparakyatmahu


Source: SH Politik

[featured-video-plus]