Pusat pentadbiran daerah Kulai akan berpindah ke Indahpura

in Edisi Johor by


KULAI – Pusat Pentadbiran Daerah Kulai akan berpindah ke Indahpura, di sini, berhampiran Johor Premium Outlet (JPO) dalam tempoh kira-kira tiga tahun lagi.


Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, projek pembangunan pusat pentadbiran baharu yang bakal menempatkan Pejabat Tanah dan Galian Daerah dan Pejabat Daerah itu dijangka siap dalam tempoh 30 bulan.


Menurutnya, pembangunan pusat pentadbiran baharu itu selari dengan aspirasi kerajaan negeri bagi meningkatkan mutu serta tahap perkhidmatan awam Johor kepada orang ramai.


“Dalam usaha kerajaan negeri membangunkan dan memajukan Kulai pada masa depan, sokongan perkhidmatan yang cekap dan efisien diperlukan sekali gus bakal membawa kesejahteraan kepada rakyat.


“Saya harap dengan pembangunan pusat pentadbiran baru ini, ia bukan sahaja memberikan prasarana dan infrastruktur baru, tetapi menyuntik semangat, komitmen dan keyakinan baru untuk semua kakitangan awam di sini memberikan perkhidmatan lebih baik,” katanya.


Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan Majlis Pecah Tanah Projek Pembangunan Pusat Pentadbiran Baru Daerah Kulai di sini, semalam.


Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, Datuk Azmi Rohani dan Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Md Jais Sarday.


Pembangunan pusat pentadbiran baru Kulai membabitkan kawasan berkeluasan 5.26 hektar dengan kos pembinaan RM61.3 juta yang dijangka siap dalam masa dua tahun setengah.


Antara bangunan yang akan didirikan di tapak ini termasuk Pejabat Tanah dan Galian Daerah, Pejabat Daerah, infrastruktur dan utiliti awam serta masjid.


Selain itu, Mohamed Khaled berkata, kerajaan negeri pada masa sama dalam usaha menjadikan Kulai sebagai hub pusat membeli-belah dan tumpuan pelancong.


“Kita melihat Kulai berpotensi untuk dibangunkan dengan lebih maju, oleh sebab itu saya selalu mahu pihak-pihak swasta fikirkan apa yang boleh dilakukan lagi di kawasan JPO itu,” katanya.


Katanya, kerajaan negeri sentiasa memastikan projek pembangunan dijalankan di Johor dapat memberi manfaat kepada rakyat.


“Oleh kerana saiz masyarakat bukan saja makin bertambah, ini bermakna bertambah masalah, pertambahan keperluan dan pertambahan isu yang harus diselesaikan segera, cekap dan berkesan,” katanya.


Source: SH Edisi Johor

[featured-video-plus]