Ribut: Kejadian ketiga terburuk

in Edisi by


LANGKAP – Kejadian ribut di sembilan Kampung dalam Dun Sungai Manik Isnin lalu merupakan yang ketiga terburuk pernah berlaku di kawasan berkenaan.


Kejadian itu telah menyebabkan 139 buah kediaman rosak setelah bumbung rumah diterbangkan ribut selain terdapat kediaman yang dihempap pokok.


Adun Sungai Manik, Datuk Zainol Fadzi Paharudin berkata, bencana ribut sering terjadi di kawasan Sungai Manik ekoran kedudukan kawasan berkenaan yang lapang dan terdedah kerana merupakan lokasi jelapang padi.


“Ini yang ketiga terburuk pernah berlaku di Dun Sungai Manik di mana kejadian ribut yang paling banyak memusnahkan kediaman adalah pada 2011 apabila 249 rumah rosak dibadai ribut.


“Kejadian kedua pula adalah pada tahun 2014 di mana sebanyak 182 kediaman rosak dalam bencana tersebut,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyampaian bantuan kepada mangsa ribut berkenaan di Pusat Khidmat Dun Sungai Manik di Langkap.


Mengulas mengenai bantuan yang diberikan, Zainol Fadzi berkata ia adalah bantuan tabung bencana daripada Pejabat Daerah dan Tanah Hilir Perak dan sebanyak RM60,000 diperuntukkan kepada 139 mangsa.


“Ia adalah untuk kegunaan mereka membaiki bumbung atau bahagian rumah yang rosak dan saya berharap ia dapat meringankan beban semua mangsa,” katanya.


Sementara itu, mangsa, Jamaluddin Hashim, 59, mengucapkan terima kasih atas keprihatinan Zainol Fadzi dan kerajaan negeri memberi bantuan segera bagi membolehkannya dan penduduk membaiki kediaman mereka yang musnah.


“Walaupun sumbangan yang diterima tidak memadai untuk baiki keseluruhan kerosakan, namun ia cukup untuk meringankan beban keluarga saya,” katanya.


Source: SH Edisi

[featured-video-plus]