Yakin BN Sarawak mampu menang besar

in Edisi Sabah Sarawak by


KUCHING – Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg yakin Barisan Nasional (BN) Sarawak mampu menang besar dengan sasaran 28 kerusi pada pilihan raya umum (PRU) ke-14.


Beliau berkata, keyakinan itu bersandarkan sokongan padu pemimpin parti komponen BN negeri  dengan  Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas sebagai Pengarah Operasi Pilihan Raya.


“Kita amat yakin dapat merampas beberapa kerusi daripada pembangkang pada PRU akan datang,” katanya  pada majlis pelancaran jentera Pemuda BN Sarawak di Kompleks Sukan Satok di sini hari ini.


Pada masa ini BN Sarawak menyandang 25 daripada 31 kerusi parlimen negeri itu.


“Pemuda BN bersedia untuk menempuh cabaran pada PRU akan datang bagi memastikan kita memperoleh kemenangan yang besar,” katanya.


Pada masa sama, Abang Johari yang juga Pengerusi BN Sarawak  berkata kerajaan negeri akan bekerjasama dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak untuk membangunkan Sarawak dan menjadi negeri paling maju menjelang 2030.


Justeru katanya mereka tidak memerlukan ‘tunjuk ajar’ daripada pemimpin pembangkang akan bagaimana untuk meneraju negeri.


“Kita Sarawak ada maruah kita, kita tahu bagaimana untuk memerintah negeri kita sendiri,” katanya.


Sementara itu, Ketua Pemuda Parti Pesaka Bumiputera  Bersatu (PBB) Rentap Jabu berkata semua bilik gerakan PBB di semua bahagian sudah diaktifkan dan armada Pemuda PBB bersedia untuk berjuang dalam PRU akan datang .


Katanya  Pemuda BN Sarawak menyokong penuh kepimpinan Abang Johari sebagai Ketua Menteri dan inisiatif ekonomi beliau bagi melonjakkan ekonomi  Sarawak ke arah  sebuah negeri maju menjelang 2030. – Bernama


Source: SH Edisi Sabah Sarawak

[featured-video-plus]