Jangan termakan janji 'bulan dan bintang'

in Edisi Selangor KL by


KUALA LUMPUR – Masyarakat khususnya pengundi di Selangor diingatkan agar tidak termakan janji-janji manis manifesto yang diuar-uarkan Pakatan Harapan yang disifatkan tidak realistik.


Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Sohaimi Shahadan, berkata, rakyat Selangor perlu menilai semula janji pembangkang yang diibaratkan seperti menjanjikan bulan bintang dan matahari.


“Biasanya mereka beri janji untuk tarik perhatian rakyat dan juga pengundi. Soal melaksanakannya pada mereka perkara kedua.


“Seperti PRU12, PRU13, janji macam-macam di Selangor yang akhirnya bila nak dilaksanakan, mereka akan letak pra syarat yang ketat dan gunakannya sebagai alasan. Contohnya janji nak bagi kad kesihatan, bila nak bagi ada syarat itu ini,” katanya kepada Sinar Harian.


Tambah Sohaimi, berbeza dengan BN yang sudah membuktikan bukan sekadar janji PRU apabila terus konsisten merealisasikan manifesto yang dibuat.


“Kita telah buktikan bukan sekadar janji. Apa yang kita buat sejak 70 tahun dulu amat konsisten dan untuk PRU akan datang ini kita akan keluarkan manifesto yang fokus kepada negara, negeri dan juga kawasan setempat.


“Jadi saya minta rakyat Selangor jangan terpedaya dengan manifesto awal ini dan tunggu manifesto BN yang lebih spesifik dan mengkhusus. Kali ini lebih fokus kepada  isu setempat dan dicadangkan lebih realistik untuk dilaksanakan,” katanya.


Source: SH Edisi Sel KL

[featured-video-plus]