Kaedah modular kurangkan kos, bantu rakyat miliki rumah

in Edisi Sabah Sarawak by


KUCHING – Sarawak akan menggunakan kaedah modular dalam pembinaan rumah bagi mengurangkan kos sekali gus menurunkan harganya dalam membantu rakyat di negeri itu memilki rumah sendiri, kata Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.


Beliau berkata mereka akan memanfaatkan teknologi  sebuah syarikat dari  China yang telah menggunakan kaedah  itu untuk membina rumah di negara-negara Barat serta Australia.


“Sistem modular dapat memberi manfaat kepada syarikat perumahan untuk membina rumah pada harga berpatutan dan seterusnya membekalkan rumah di pasaran dengan harga setidak-tidaknya kurang daripada RM250,000 atau RM300,000,” katanya pada majlis pecah tanah kilang pembuatan panel sistem modular di Kawasan Perindustrian Demak Laut/Sejingkat, di sini hari ini.


Turut hadir Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sarawak Datuk Dr Sim Kui Hian, Anggota Dewan Undangan Negeri Demak Laut  Dr Hazland Abang Hipni dan Pengerusi Perbadanan Pembangunan Perumahan (HDC) Datuk Dr Abang Abdul Rauf Abang Zen.


Kilang pembuatan panel sistem pembinaan modular itu merupakan kerjasama antara anak syarikat HDC, Smart Housing R&D Sdn Bhd dengan syarikat Conceiving Board Manufacturing Co Ltd yang berpangkalan di Foshan, China.


Mengulas lanjut, Abang Johari berkata sistem modular yang menjimatkan itu akan turut diguna pakai untuk membangunkan semula sekolah-sekolah daif di negeri ini.


“Kerajaan telah memperuntukkan sejumlah RM1 bilion untuk membina semula sekolah daif di negeri ini. Sekolah perlu dibangunkan dengan cepat. Selain menggunakan Sistem Binaan Berindustri (IBS), sistem modular juga sesuai untuk kerja-kerja tersebut ​​​​​​.


“Bukan sahaja untuk membina bangunan sekolah malah menerusi sistem modular ini kita boleh bina bangunan kerajaan lain seperti klinik,” katanya. – Bernama


Source: SH Edisi Sabah Sarawak

[featured-video-plus]