BN juga turut terkesan: Idris

in Edisi Melaka Negeri Sembilan by


SUNGAI UDANG – Perubahan yang berlaku dalam persempadanan semula jelas membuktikan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak memihak kepada mana-mana parti termasuk BN.


Pengerusi BN negeri, Datuk Seri Idris Haron, berkata, beliau turut terkesan dengan perubahan pola mengundi di beberapa kawasan seperti Parlimen Bukit Katil yang sekarang bertukar nama kepada Parlimen Hang Tuah Jaya daripada 114,000 kepada 89,000 pengundi selain nama parlimen dan Dun turut berubah.


Menurutnya, kawasannya di Dun Sungai Udang juga mengalami perubahan situasi berkenaan apabila pengundi di Bertam Ulu kini diletakkan di dalam Dun tersebut. Begitu juga di Klebang yang juga kerusi MCA, apabila kawasan Ayer Salak dalam Dun itu yang mana pengundinya 95 peratus Cina terpaksa berpindah ke Dun Pantai Kundor.


Katanya, persempadanan semula berkenaan juga tidak akan membawa kemenangan besar kepada BN kerana apa yang diputuskan SPR adalah sama rata dengan mengambil kira kepentingan rakyat


“Contoh saya sendiri terkesan, saya selesa di Sungai Udang dengan 18,900 pengundi dan hari ini Bertam Ulu dah ada 21,000 di bawah saya dan saya perlu mengawasi lebih, malah tak tentu dari segi kecenderungannya.


“Jangan kata SPR didorong oleh kerajaan untuk lakukan persempadanan semula, itu adalah fikiran dangkal sedangkan ia dikaji secara terperinci,” katanya.


Idris berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Penyerahan Sumbangan Program Pembitaraan Kitar Semula di Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Udang, di sini, hari ini.


Hadir sama, Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Kesejahteraan Bandar dan Alam Sekitar, Datuk Ismail Othman dan Ketua Pegawai Eksekutif, Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp), Datuk Dr Zulkipli Mohamed.


Dalam perkembangan lain, Idris berkata, semua Pusat Daerah Mengundi (PDM) di negeri ini perlu terus memainkan peranan mereka walaupun berlaku perubahan dalam persempadanan semula yang diluluskan Parlimen, semalam.


Menurutnya, biarpun pasti telah berlaku pertambahan dan pengurangan kawasan pengundi, namun ia tidak perlu dipersoalkan kerana perkara tersebut adalah satu kemestian setiap dua penggal pilihan raya.


“Bagaimanapun kita yakin sengan semangat perjuangan yang ada semua PDM negeri ini bersiap sedia untuk menghadapi PRU14,” katanya.


Source: SH Edisi Melaka NS

[featured-video-plus]