Cadang RUU lindung ekonomi negara

in Edisi Melaka Negeri Sembilan by


SEREMBAN – “Kena ada pihak lihat perkara ini, sebab ekonomi negara kita baik. Tapi ada saja orang buat kenyataan dan usaha untuk jatuhkan imej negara dengan mengatakan ekonomi kita nak bankrap dan lemah.


“Ini tak baik untuk negara kita. Kalau tak setuju dengan kerajaan, okey. Tapi jangan sampai sabotaj ekonomi negara sendiri, sebab pertumbuhannya membangun sampai enam peratus,” ujar Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan.


Justeru kata beliau, seharusnya diwujudkan Rang Undang-Undang (RUU) Anti Hasutan Sabotaj Ekonomi Negara untuk menangani masalah tersebut daripada terus menular secara berleluasa.


“Perlu ada, sabotaj ekonomi pun boleh menyebabkan negara jadi kelam-kabut. Tapi saya tak tahulah, siapa akan bawa dan meneliti (cadangan ini di Parlimen) nanti.


“Cuma saya yakin dan percaya, sudah sampai masanya kita mempunyai rang undang-undang untuk mencegah kegiatan mensabotaj ekonomi.


“Kalau berita palsu pun kita boleh ada rang undang-undang (tersendiri), hasutan untuk sabotaj ekonomi ini (perkara) lagi serius,” katanya.


Menurut Mohamad, tindakan sedemikian tidak membawa sebarang manfaat kecuali menakutkan pelabur asing untuk datang ke negara ini.


“Saya tak anti sesiapa. Negara ini lebih penting. Jadi jangan buat macam ini.


“Kalau berhajat nak jadi kerajaan, tunjukkan ‘kad laporan’ masing-masing pada pilihan raya nanti. Tapi selepas itu, mesti hormat keputusan pengundi.


“Kemudian kerja keras dan tunjukkan lagi ‘kad laporan’ kita, lima tahun akan datang. Itulah peraturannya,” katanya.


Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan perasmian Hari Peladang, Penternak dan Nelayan peringkat Negeri Sembilan 2018 di Pusat Pameran dan Konvensyen Senawang (SECC), di sini, hari ini.


Lagipun katanya, sampai bila mereka hendak bersikap sebegitu kerana yang terkena tempiasnya adalah generasi akan datang.


“Susahnya nanti peringkat anak cucu kita juga. Mereka pula biasalah, semuanya dah kaya-raya dan boleh kata apa saja. Takkan terkesan pun.


“Sebenarnya amat bahaya kalau ada usaha untuk gagalkan orang datang berdagang dengan kita, memandangkan negara ini berbentuk ekonomi terbuka.


“Apa salahnya orang datang melabur di sini? Kalau dulu kita suruh Jepun dan Korea buka kilang di sini, tapi bila (giliran) China pula tak boleh,” katanya.


Tegas Mohamad, Malaysia tetap mengamalkan konsep pandang ke Timur tetapi bezanya kali ini pandang ke China.


Source: SH Edisi Melaka NS

[featured-video-plus]