Jangan takut dengan RUU Antiberita Tidak Benar

in Nasional by


KUALA LUMPUR – Sikap pembangkang yang membantah Rang Undang-undang (RUU) Antiberita Tidak Benar 2018 menggambarkan seolah-olah takut undang-undang itu digunakan ke atas mereka kelak, demikian pendapat seorang anggota Parlimen.


Datuk Seri Bung Mokhtar Radin (BN-Kinabatangan) ketika membahaskan rang undang-undang itu di Dewan Rakyat hari ini mengakui hairan dengan pendirian pembangkang itu kerana menyifatkan mereka tidak seharusnya khuatir dengan pelaksanaan akta itu sekiranya tidak berniat menyebarkan berita palsu.


“Kita semua melalui proses dan pengalaman, banyak yang berlaku, suami isteri bercerai, majikan pecat pekerja sebab berita palsu, jadi saya hairan kenapa pembangkang rata-rata tidak bersetuju dengan akta ini?


Kalau tidak bersetuju, bermakna puak pembangkang ini menjadi kilang memproses berita palsukah? Sebab kalau kita tidak suka menyebar berita palsu kenapa kita takut, orang yang takut terhadap akta ini sebab dia suka menyebar berita palsu,” bahasnya.


Bung Mokhtar turut mencadangkan supaya kerajaan memperhalusi rang undang-undang itu termasuk dengan melihat akta seumpamanya yang digubal di Singapura yang menetapkan akaun media sosial seperti Facebook, Twitter dan Instagram perlu menggunakan nama sendiri supaya dapat mengesan individu yang membuat penyebaran berita palsu.


Turut membahaskan rang undang-undang sama, Datuk Noor Ehsanuddin Mohd Harun Narrashid (BN-Kota Tinggi) berkata penyebaran berita palsu perlu diatasi sebaik mungkin kerana ia boleh membuatkan sesebuah negara itu berada dalam keadaan kucar-kacir dan menuju kehancuran.


Terdahulu, rang undang-undang itu dibentangkan untuk bacaan kali kedua oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Azalina Othman Said yang menegaskan rang undang-undang itu tidak menyekat kebebasan bersuara rakyat sebaliknya bertindak untuk menyekat kebebasan penularan berita tidak benar  selain memberi mesej jelas bahawa kerajaan tidak akan berkompromi dengan penyebaran berita tidak benar yang boleh memudaratkan ketenteraman awam atau keselamatan negara.


Beliau turut memaklumkan cadangan hukuman penjara yang dibuat di bawah rang undang-undang itu akan dipinda daripada 10 tahun kepada enam tahun.


Persidangan bersambung Isnin depan. – Bernama

 


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]