Jangan terpedaya ‘madu beracun’ pembangkang

in Nasional by


KUALA LUMPUR – Datuk Seri Najib Tun Razak sekali lagi mengingatkan rakyat supaya tidak terpedaya dengan janji kosong pembangkang yang diibaratkan sebagai ‘madu beracun’  yang hanya sedap didengar tetapi boleh memudaratkan masyarakat dan negara.


Perdana menteri berkata, banyak pihak sedar apa yang dijanjikan mereka tidak akan mampu dilaksanakan.


“Jika segala janji hendak dilaksanakan, tidak hairanlah tujuan pembangkang bukan untuk menepati janji.


“…mereka ada satu tujuan iaitu keinginan kuat untuk menjadi pihak yang dapat menubuhkan kerajaan dan mempunyai kuasa,” katanya.


Berucap pada majlis penyerahan kunci unit kediaman Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia (PPA1M) Metropolitan Kepong di sini hari ini, Najib berkata, apabila itu dijadikan matlamat, apa jua kaedah akan digunakan untuk mencapainya.


“Sebab itu perlu hati-hati dan jangan terima bulat-bulat apa sahaja yang dijanjikan pembangkang. Gunakan akal dan fikir sama ada itu dapat dilaksanakan mereka atau tidak,” tegasnya.


Najib seterusnya berkata, janji pembangkang dalam manifesto PRU14 mereka untuk memansuhkan cukai barang dan perkhidmatan (GST) dan mengembalikan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) hanya akan menyebabkan negara kekurangan sekurang-kurangnya RM20 bilion setahun.


Kerajaan mengutip cukai GST berjumlah RM44 bilion pada 2017. GST mula dilaksanakan pada 1 April 2015 menggantikan SST.


Menurutnya, kekurangan seumpama itu boleh menjurus kepada pengurangan program untuk rakyat.


Najib bagaimanapun menegaskan, kerajaan pimpinannya sentiasa mengutamakan kepentingan rakyat.


Namun, katanya, ia tidak bermaksud kerajaan boleh melaksanakan dasar-dasar populis dan tidak bertanggungjawab hingga memberi kesan kepada ekonomi dan masa depan negara. – Bernama


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]