Jualan Sentuhan Rakyat di Kelantan catat RM6.3 juta

in Edisi by


JELI – Sejumlah RM6.3 juta nilai jualan dicatatkan sepanjang Program Jualan Sentuhan Rakyat (PJSR) Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan di negeri ini sejak mula dilaksanakan Januari lalu.


Pengarahnya, Datuk Ab Ghani Harun berkata, jumlah berkenaan dicatatkan di 70 lokasi PJSR sebelum ini dengan nilai purata jualan setiap lokasi RM90,000 ke atas.


Menurutnya, program berkenaan akan diteruskan supaya lebih ramai mendapat manfaat.


“Hari ini merupakan lokasi ke 71 di seluruh negeri. Kita sudah adakan di semua parlimen. Sambutan sangat menggalakkan dengan purata kehadiran orang ramai sekitar 2,500 di setiap lokasi.


“Mei ini kita rancang adakan secara besar-besaran dan lebih hebat lagi di Dun-Dun demi kebajikan dan kebaikan orang ramai,” katanya kepada media ketika menghadiri PJSR Dun Kuala Balah di sini, hari ini.


Sementara itu, Adun Kuala Balah, Datuk Abd Aziz Derashid berkata, jualan berkenaan antara bukti keseriusan kerajaan dalam membantu rakyat terutama yang tinggal di luar bandar.


Menurutnya, kerajaan memberi subsidi kepada peniaga supaya barang-barang dapat dijual pada harga lebih rendah.


“Kita akan cuba tingkatkan hebahan supaya lebih ramai tahu. Mungkin saluran lebih luas digunakan termasuk imam dan guru besar untuk menguar- uarkan tentang program ini. Kita nak semua rakyat tanpa kira fahaman dan latar belakang dapat faedah,” katanya.


Source: SH Edisi Kelantan

[featured-video-plus]