Selami ilmu pengurusan jenazah

in Edisi Melaka Negeri Sembilan by


SUNGAI RAMBAI – Pengurusan jenazah bukanlah perkara yang boleh dipandang ringan khusus dalam kalangan umat Islam.


Penyelaras program, Mohd Ridzuan Mujid berkata, meskipun ia fardhu kifayah bagi umat Islam, tetapi mesti diingat mempelajarinya adalah fardhu-ain.


Menurutnya, kerana itu ilmu berkaitan pengurusan jenazah sangat diperlukan dan dititikberatkan.


“Kursus selama sehari ini, dapat sambutan daripada peserta yang merupakan guru-guru Sekolah Rendah Agama (SRA) Sungai Rambai dan masyarakat setempat.


“Pelaksanaan kursus ini tidak lainnya memberikan pendedahan kepada peserta mengenai konsep pengurusan jenazah dalam Islam dengan betul dan membimbing mereka bagaimana melakukannya secara praktikal,” katanya.


Beliau yang juga Pegawai Agama Daerah Kecil Sungai Rambai berkata, sesi ceramah dan teori disampaikan Ustaz Nor Azam Ismail dari Majlis Agama Islam Melaka.


“Saya harap program ini memberi sedikit sebanyak ilmu pengurusan jenazah bukan sahaja dimanfaatkan kepada orang lain sebaliknya keluarga sendiri.


“Inisiatif ini dilihat sangat relevan diadakan daripada masa ke semasa supaya masyarakat sedar ia juga satu tanggungjawab bagi umat Islam untuk menambah pengetahuan mengenai pengurusan jenazah,” katanya.


Majlis perasmian Kursus Pengurusan Jenazah Guru-guru SRA Jabatan Agama Islam Melaka Sungai Rambai disempurnakan Penghulu Dun Sungai Rambai, Arif Omar.


Sementara Arif berkata, kursus ini diharapkan dapat mendidik kita bahawa ketika hidup atau mati, kita sentiasa memerlukan orang lain.


“Sebagai manusia, walaupun dikurniakan dengan akal dan fikiran hebat, tetapi kita terpaksa bergantung kepada orang lain ketika pergi meninggalkan dunia.


“Kita memerlukan mereka untuk memandikan jenazah, solatkan jenazah dan semuanya ini telah ditentukan ALLAH SWT.


“Kerana itu jangan sombong dan sentiasa dekatkan diri dengan ALLAH SWT kerana kita juga memerlukan pertolongan orang lain suatu masa nanti,” katanya.


Kursus diadakan di Masjid Asy-Syakirin Sungai Rambai itu melibatkan 50 peserta.


Source: SH Edisi Melaka NS

[featured-video-plus]