Tambah Pasukan Bomba Sukarela

in Edisi Terengganu by


HULU BESUT-Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu menyasarkan sekurang-kurangnya sebanyak 32 Pasukan Bomba Sukarela (PBS) akan ditubuhkan di negeri ini.


Pengarahnya, Azlimin Mat Noor berkata, bilangan itu selaras dengan sasaran Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesejahteraan Bandar negeri yang menetap setiap kawasan DUN mempunyai sekurang-kurangnya satu Bomba Sukarela.


Menurutnya, sehingga kini terdapat sebanyak 19 PBS di negeri ini dengan keanggotaan seramai 457 orang termasuk PBS terbaru ditubuhkan di Felda Tenang, di sini.


“Penubuhan pasukan ini diutamakan di kawasan yang mempunyai penempatan dan penduduk padat atau lokasi yang agak jauh dengan balai bomba terdekat.


“Umpamanya  jarak balai bomba terdekat dengan Felda Tenang iaitu Balai Bomba dan Penyelamat Jertih terletak kira-kira 38 kilometer dan mengambil masa 45 minit untuk sampai ke sini.


“Dalam masa 45 minit tersebut pelbagai perkara boleh berlaku dan dengan tertubuhnya PBS Felda Tenang sudah tentu sementara sampai jentera bomba, PBS boleh membuat tindakan awal seperti kerja-kerja menyelamat dan pemadaman bagi mengelak keadaan menjadi lebih buruk dan tidak terkawal,” katanya.


Beliau berkata demikian selepas Pelancaran Pasukan Bomba Sukarela Felda Tenang yang disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Luar Bandar, Usahawan, Koperasi dan Kepenggunaan negeri merangkap Adun Hulu Besut, Nawi Mohamad di Dewan Felda Tenang.


Hadir sama  Pengerusi Besar Wilayh Felda Wilayah Terengganu, Saidee Salleh.


Azlimin berkata lagi, dengan penubuhan PBS di  Felda Tenang menjadikan  terdapat tiga PBS di daerah ini selain di Pulau Perhentian dan PBS Jabi.


Selain PBS kata beliau, Pasukan Bomba Komuniti juga adalah salah satu badan pasukan yang berperanan mengambil tindakan awal sekiranya berlaku sesuatu kebakaran.


Bezanya Bomba Komuniti wujudkan membabitkan organisasi jabatan kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan, pasar raya mahupun peringkat komuniti.


Menurutnya, JBPM Terengganu menyasarkan sebanyak 25 buah Pasukan Komuniti Bomba dengan keanggotaan 500 orang pada tahun ini.


Bagaimanapun setiap PBS menikmati beberapa kemudahan lain daripada JBPM termasuk bantuan geran pengurusan sebanyak RM3,000 setahun.


Sementara itu, Nawi menghargai peranan JBPM Terengganu kerana mengambil inisiatif menubuhkan PBS di Felda Hulu Tenang memandangkan kedudukannya agak jauh daripada balai bomba.


 Menurutnya, penubuhan PBS dapat mengelak kerugian  harta yang lebih besar termasuk kehilangan nyawa. atau kecederaan serius.


Source: SH Edisi Terengganu

[featured-video-plus]