Aplikasi Putrajaya Mobile dilengkapi butang panik

in Nasional by


PUTRAJAYA – Perbadanan Putrajaya dan Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (MCMC) hari ini, melancarkan aplikasi Putrajaya Mobile, antara lain dilengkapi dengan fungsi butang panik yang membolehkan pengguna menghantar mesej kecemasan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan penguatkuasa Perbadanan Putrajaya.


Presiden Perbadanan Putrajaya, Datuk Seri Hasim Ismail berkata, fungsi butang panik memberi ruang kepada penduduk dan pengunjung Putrajaya yang mengalami kecemasan, dan butang panik itu boleh digunakan di 39 lokasi di seluruh Putrajaya.


“Cuma tekan saja butang dan signal akan dikeluarkan. Gambar individu yang menekan ‘panic button’ akan dirakam dan dihantar ke ‘control room’.


“Jadi pihak berkuasa tahu apa yang berlaku kerana wajah turut direkodkan. Pendekatan ini mampu kawal masalah penyalahgunaan fungsi tersebut,” katanya kepada pemberita selepas pelancaran Putrajaya Mobile di Kompleks Kejiranan Presint 9, di sini.


Putrajaya Mobile yang diintegrasikan dengan Google Maps boleh diguna untuk memandu arah ke lokasi yang ingin dituju dan mengakses maklumat keadaan trafik semasa di Putrajaya.


Maklumat lain yang dimuatkan dalam aplikasi Putrajaya Mobile ialah lokasi tarikan pelancongan, kemudahan awam, tempat letak kereta dan informasi mengenai acara dianjurkan di Putrajaya.


Turut dilancarkan hari ini ialah aplikasi tanpa tunai, PrimeKeeper Digital Wallet yang boleh digunakan sebagai pembayaran alternatif kepada bayaran tunai di Medan Selera Presint 9, peniaga di sekitar Putrajaya dan  DPulze Shopping Centre serta Shaftsbury Square di Cyberjaya.


Dalam ucapannya, Hasim berkata, Perbadanan Putrajaya sedang merangka Smart Putrajaya Blueprint bertujuan menjadikan Putrajaya sebuah bandar yang mencapai tahap pembangunan mampan pintar.


Beliau berkata, Smart Putrajaya Blueprint akan menjadi dokumen tindakan yang penting bagi Bandar Pintar Putrajaya dengan objektif merangkumi tiga aspek utama iaitu rangkaian perhubungan yang baik, pengurusan sumber dan perkhidmatan efisien, serta bandaraya selamat dan penghuninya berdaya tahan.


“Inisiatif yang digariskan di bawah Smart Putrajaya Blueprint melibatkan tujuh domain iaitu pengangkutan dan mobiliti pintar, urus tadbir kerajaan yang cekap, infrastruktur dan utiliti pintar, sistem keselamatan perbandaran pintar dan selamat, ekonomi dinamik dengan penggunaan Internet of Things, komuniti pintar dan persekitaran pintar,” katanya.


Sementara itu, Pengerusi MCMC, Tan Sri Dr Halim Shafie berkata, inisiatif di bawah Smart Putrajaya Blueprint mampu menjadikan Putrajaya antara bandaraya pertama di negara ini yang mempunyai ciri-ciri pintar menjelang 2020. – Bernama

 


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]