Banci semula sekolah tahfiz

in Edisi Terengganu by


KUALA TERENGGANU – Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) dan Majlis Daerah diarahkan membuat bancian semula jumlah pusat tahfiz di negeri ini ekoran pertumbuhan mendadak pusat pengajian itu terutama di kawasan luar bandar.


Pengerusi Jawatan Kuasa Komunikasi, Multimedia dan Tugas-tugas Khas Negeri, Dr. Ghazali Taib berkata, jumlah sebenar perlu direkod bagi memantau keadaan keselamatan di situ bagi mengelak kejadian tidak diingini berlaku.


“Kita anggarkan bilangan pondok dan pusat tahfiz yang ada di Terengganu sebanyak 200 buah dan yang sah berdaftar hanya 42 buah sahaja. Namun, saya percaya jumlah sebenar lebih dari itu memandangkan masih ada pusat yang dibuka termasuk di kawasan pedalaman di luar bandar.


“Sehubungan itu, kita minta satu bancian semula dibuat bagi mengetahui jumlah sebenar pusat tahfiz yang ada bagi memudahkan kerja pemantauan sekali gus memastikan ia selamat untuk diduduki,” katanya pada sidang media selepas majlis penyerahan bantuan alat keselamatan kebakaran bagi sekolah pondok dan tahfiz yang berdaftar, di sini, semalam.


Turut hadir, Pesuruhjaya hal Ehwal Agama Terengganu, Wan Ismail Sahaimi Wan Omar, Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Terengganu (JBPNT), Sharikan Bustamam.


Mengulas mengenai piawaian keselamatan, Ghazali berkata, pusat pengajian itu perlu melakukan anjakan terhadap prasarana, bentuk dan sistem pendidikan selaras dengan perkembangan menuju abad ke-21.


“Faktor keselamatan perlu dititikberatkan, latihan kebakaran wajar dilakukan mungkin sekali setahun dengan diselia JBPNT.


“Selain itu, pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) juga satu lagi langkah yang perlu diambil untuk memastikan perkara-perkara yang tidak diingini dari berlaku. Walaupun ia melibatkan kos yang tinggi, ia dapat membantu mengesan kes-kes kecurian dan pencerobohan,” katanya


Dalam pada itu, Ghazali berkata, kerajaan negeri menitikberatkan isu keselamatan pusat tahfiz  dengan memperuntukkan sebanyak RM126,000 bagi bantuan peralatan keselamatan kebakaran kepada pusat-pusat tahfiz yang berdaftar.


“Peruntukan ini melibatkan RM3,000   bagi setiap 42 buah pusat tahfiz, namun begitu, jumlah alatan itu bergantung pada keluasan pusat tahfiz berkenaan, sekiranya lebih luas, mungkin jumlah unit pemadam api akan bertambah,” katanya.

 


Source: SH Edisi Terengganu

[featured-video-plus]