Kesal ditipu isteri sendiri

in Edisi by


IPOH – Sudahlah perkahwinan tidak bahagia, seorang jurutera terpaksa pula menanggung hutang mencecah RM40,000 angkara penggunaan kad kredit secara melampau dilakukan isterinya, sejak dua tahun lalu.


Lebih mengecewakan, isteri yang dikahwini pada Jun 2016 itu bersikap lepas tangan dengan menghilangkan diri selepas kali terakhir mereka bertemu, Disember lalu.


Tan Chee Yan, 31, berkata, isterinya Nyin Ning, 27, yang dikenali atas dasar kerja itu memiliki empat kad kredit kesemua didaftarkan atas namanya yang dibuat untuk memudahkan perbelanjaan harian.


Menurutnya, perkara itu terbongkar tahun lalu apabila dia mula mendapat panggilan bank memaklumkan penggunaan kad kredit mencecah puluhan ribu ringgit.


“Dia maklumkan wang itu digunakan untuk urusan perniagaan keluarganya dan berjanji akan membayar semula.


“Hinggalah kami bertemu pada Disember, dia memberikan saya cek bernilai RM50,000 sebagai bayaran kad kredit digunakan, tapi sayangnya selepas disemak cek itu adalah palsu,” katanya pada sidang bersama Biro Pengaduan Awam MCA Perak, hari ini.


Chee Yan yang bekerja di sebuah syarikat berpangkalan di Kedah berkata, ketika meninjau keadaan rumahnya di Lahat, beberapa barangan antaranya jam tangan, komputer riba serta dokumen peribadinya hilang.


Katanya, dia turut menemui beberapa salinan penyata kad kredit yang didaftarkan atas nama individu lain.


“Saya cuba hubungi individu itu dan dapati, dia juga telah ditipu wanita sama sejak 2014. Usaha mengesan isteri saya kini menemui jalan buntu apabila akses terhadap akaun Facebook, Whastapp dan Wechat miliknya telah disekat,” katanya.


Beliau mahu, wanita berasal dari Sabah itu tampil untuk menyelesaikan masalah secara damai berkaitan status perkahwinan dan hutang kad kredit.


“Saya dah maklumkan kepada keluarganya, mereka juga tidak tahu dia berada di mana,” katanya.


Source: SH Edisi

[featured-video-plus]