Lapan pusat pengiraan undi diperiksa

in Edisi Terengganu by


KUALA TERENGGANU – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu telah memeriksa kesemua lapan pusat pengiraan undi di lapan daerah di negeri ini, dua minggu lalu.


Timbalan Pengarahnya, Sharikan Bustaman berkata, pemeriksaan itu dijalankan selepas mendapat maklumat daripada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).


“Di peringkat JBPM Terengganu kita telah siap sedia dari aspek keselamatan lokasi  memandangkan bila-bila masa Parlimen akan dibubarkan.


“Begitu juga dari segi keselamatan kebakaran, setakat ini kita telah pastikan semua lokasi diperiksa adalah selamat,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Penyerahan Alatan Pemadan Api kepada 42 wakil sekolah pondok dan pusat tahfiz di Ibu Pejabat Bomba dan Penyelamat, di sini, kelmarin.


Dalam perkembangan sama, katanya,  kesemua anggota sentiasa bersedia semasa tempoh pengundian dan masa perkiraan undi.


“Kalau sebelum ini shif kita 12 jam, kita telah tukar jadual kerja bagi memastikan aspek keselamatan sentiasa berada dalam keadaan baik.


“Dari segi jadual tugas anggota kita juga telah berubah kepada siap sedia dalam tempoh 24 jam bagi  berdepan sebarang kemungkinan sepanjang tempoh itu,” katanya.


Dalam pada itu, Sharikan berkata, sebelum ini, pihaknya telah memeriksa sebanyak 386 pusat mengundi di seluruh negeri.


Katanya, beliau memberi jaminan terhadap tahap keselamatan pusat mengundi dan akan menempatkan anggota bomba di setiap lokasi pada hari berkenaan.


“Kita akan tempatkan anggota bomba di setiap lokasi kiraan undi dan kawasan mengundi sepanjang berlangsungnya PRU14,” katanya.


Dalam pada itu, Sharikan berkata, setakat ini sebanyak 85 peratus anggota bomba Terengganu telah melaksanakan tanggungjawab mengundi secara pos.


“Sebanyak 85 peratus  anggota bomba Terengganu telah mengisi borang untuk mengundi pos dan ini merupakan kemudahan yang disediakan kepada semua anggota bomba bagi mengundi awal.


“Pilihan yang diberikan ini adalah peluang yang tidak harus di sia-siakan memandangkan hampir kesemua anggota bomba bertugas ketika hari PRU,” katanya.


#prusinar #aparakyatmahu


Source: SH Edisi Terengganu

[featured-video-plus]