Masihkah ada ruang untuk DAP?

in Politik by


JOHOR – PRU13 telah mengubah keadaan di Parlimen Kluang yang dahulunya diterajui oleh BN, tetapi kini dipimpin parti pembangkang DAP.


Sewaktu PRU13, DAP telah meletakkan calonnya, bekas Ahli Parlimen Bukit Bendera, Pulau Pinang untuk menentang calon MCA, Hou Kok Chung yang merupakan Ahli Parlimen Kluang ketika itu.


Namun, nasib tidak menyebelahi calon MCA apabila calon DAP, Liew Chin Tong menang besar dengan 40,574 undian, manakala lawannya hanya memperoleh 33,215 undian.


Parlimen Kluang mempunyai dua Dun iaitu Dun Mahkota (N29) dan Dun Mengkibol (N28).


Walaupun telah memenangi kerusi Parlimen Kluang, namun salah satu Dun di kawasan berkenaan masih dipegang BN iaitu Dun Mahkota.


Selepas dilantik menjadi Ahli Parlimen Kluang, Chin Tong akui menghadapi cabaran besar untuk mentadbir kawasan tersebut.


Beliau berkata, setiap kawasan dipegang oleh parti pembangkang sememangnya menghadapi masalah berikutan tidak mendapat peruntukan khusus, sama ada daripada kerajaan negeri mahupun kerajaan persekutuan.


“Sebagai ahli Parlimen pembangkang, kami tiada kuasa sama ada di kerajaan negeri atau kerajaan persekutuan, tetapi sepanjang lima tahun ini saya telah mengutarakan pelbagai isu dan sebahagiannya telah diambil tindakan oleh kerajaan.


“Saya telah lontarkan banyak idea untuk menaik taraf bandar Kluang, khususnya kawasan warisan dari Jalan Station sehingga Jalan Teoh Siew Khor di Bandar Kluang.


“Kalau kita lihat, kawasan ini boleh jadikan kawasan warisan dan boleh bawa lebih ramai pelancong, selain menjadikan tempat ini tempat yang ada cerita dan orang ramai boleh berkongsi pengalaman.


“Kita juga boleh jadikan Bandar Kluang satu imej baharu seperti sekarang. Bagaimanapun, idea-idea ini telah diambil dan diusahakan oleh Majlis Perbandaran Kluang (MPK) walaupun ahli pembangkang tiada kuasa melaksanakannya,” katanya.


Chin Tong berkata, antara perubahan yang dinaiktaraf oleh MPK ialah Laman Merdeka dan beberapa kawasan di sekitar Bandar Kluang.


“MPK wajar memberi suntikan nafas baharu di kawasan Bandar Kluang, termasuk memberikan konsep baru di kawasan tersebut. Malah, menaik taraf kawasan pusat perhentian bas dan pasar awam Kluang,” katanya.


Chin Tong berkata, beliau turut membawa isu penaiktarafan jalan FT50 Kluang-Batu Pahat berikutan sering berlakunya kemalangan maut.


Menurutnya, walaupun telah diambil tindakan namun ia tidak sepenuhnya, berikutan dilaksanakan oleh kerajaan persekutuan.


“Isu terakhir adalah isu berkaitan kestabilan pengekalan air dan kualiti air. Walaupun Empangan Kahang telah siap pada 2017, tetapi tiada loji rawatan air, namun masalah tersebut telah selesai dengan bantuan kerajaan negeri.


“Saya juga mengambil kira masalah kualiti air di Kluang khususnya di Empangan Sembrong di mana kawasan sekelilingnya tidak mempunyai kawasan tadahan air tetapi dikelilingi dengan kawasan pertanian.


“Apa yang diharap isu ini akan dapat diselesaikan segera kerana ia masalah besar dan perlu ditangani,” katanya.


#prusinar #aparakyatmahu


Source: SH Politik

[featured-video-plus]