Padah pinjam ah long, lelaki dibebani hutang berganda

in Edisi Terengganu by


KUALA TERENGGANU – Teruja tawaran pinjaman ah long sebanyak RM5,000 tanpa sebarang syarat, seorang lelaki terpaksa menanggung hutang sehingga RM15,000 selepas gagal membayar pinjaman mengikut jadual ditetapkan.


Mangsa berusia 30-an dikatakan sudah menjelaskan pinjamannya sebanyak RM3,500 namun along terbabit memaksanya menjelaskan baki bayaran RM10,000 kerana kadar bunga melampau selepas terlewat membuat pembayaran.


Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu Asisten Komisioner Idris Abd Rafar berkata, mangsa sebelum ini pernah membuat pinjaman RM10,000 daripada ah long terbabit yang menawarkan pinjaman berlesen pada 10 Julai tahun lalu.


Beliau berkata, mangsa dikatakan menerima RM8,500 manakala selebihnya diambil ah long terbabit sebagai duit setem dan bunga dengan perjanjian mangsa perlu membayar 10 peratus daripada pinjaman selama 10 hari.


“Dalam tempoh pinjaman itu, ah long terbabit menaikkan bunga pinjaman daripada 10 peratus kepada 12 peratus dan mangsa berjaya menyelesaikan pinjaman itu dalam tempoh 14 minggu dengan jumlah keseluruhan bayaran RM19,250.


“Lelaki terbabit sekali lagi menawarkan pinjaman RM5,000 kepada mangsa tanpa mengenakan sebarang syarat pada 25 November tahun lalu menyebabkan mangsa bersetuju untuk membuat pinjaman lagi.


“Pinjaman sebanyak RM4,250 diterima mangsa dua hari kemudian dan membuat pembayaran sebanyak RM1,500 dalam tempoh dua bulan,” katanya.


Idris berkata, mangsa bagaimanapun menghubungi ah long terbabit meminta penangguhan baki pinjaman sebanyak RM2,750 pada 15 Disember tahun lalu kerana mahu menggunakan wang selepas ibunya meninggal dunia.


Katanya, mangsa berjumpa dengan suspek pada 17 Mac lalu dan ah long terbabit meminta mangsa menyelesaikan baki pinjaman daripada tempoh dua minggu sebelum mangsa membuat pembayaran RM2,000 secara atas talian pada 22 Mac lalu.


“Bagaimanapun, ah long terbabit menghubungi mangsa kira-kira jam 11.30 pagi pada Ahad lalu meminta mangsa menjelaskan baki pinjaman RM10,000 dan mangsa yang berasa ditipu mengambil keputusan membuat laporan polis kerana bimbang keselamatan diri dan keluarga.


“Siasatan lanjut sedang dijalankan dan kita menasihatkan orang ramai supaya tidak meminjam wang daripada ah long bagi mengelak timbulnya masalah,” katanya.


Source: SH Edisi Terengganu

[featured-video-plus]