Projek longkang siap Mei depan

in Edisi by


BERCHAM – Projek membina longkang di Hala Bercham Selatan 1, Lebuh Bercham Selatan dan Hala Bercham Timur 11 yang menyebabkan laluan utama ditutup dijangka siap selewatnya, Mei depan.


Perkara itu dimaklumkan Ahli Majlis Bandaraya Ipoh (MBI), Aldrich Low Guo Nan selepas terdapat aduan daripada peniaga mendakwa perniagaan mereka terjejas berikutan kekurangan pengunjung.


Menurutnya, laluan utama terpaksa ditutup sementara bagi memberi laluan kerja-kerja pembinaan dilaksanakan tanpa sebarang gangguan.


“Keadaan ini menyebabkan kesesakan lalu lintas dan mengganggu operasi beberapa premis terutama kedai makan di sekitar kawasan ini.


“Laluan alternatif telah disediakan dan kita mendapat jaminan keadaan lalu lintas akan diurus dengan baik ketika kerja tebatan dijalankan termasuk papan tanda dan papan arah mencukupi supaya pengguna lebih jelas,” katanya ketika meninjau


keadaan pembinaan, hari ini.


Aldrich berkata, projek dibawah Tebatan Banjir Fasa ke-2 itu dimulakan sejak Februari lalu melibatkan lencongan longkang dari Hala Bercham Timur 11 di depan Kelab Bougainvillea hingga Medan Bercham Selatan 1 Taman Ipoh Timur Baru dengan kos


hampir RM1.5 juta.


Katanya, saliran sepanjang 467 meter itu sebagai langkah mengatasi masalah banjir kilat dihadapi lebih 500 keluarga di Taman Desa Impian dan Kinta Mas Bercham yang berlarutan sejak 20 tahun lalu.


“Daripada lawatan ini, kita dapati projek sudah menghampiri 70 peratus, jika tiada sebarang halangan dijangka akan siap lebih awal, kemungkinan penghujung April ini.


“Jadi sepanjang tempoh pelaksanaan, kita mohon penduduk dan peniaga memberi kerjasama sepenuhnya,” katanya.


Source: SH Edisi

[featured-video-plus]