PRU14: Pengamal media NS perlu sedia

in Politik by


SEREMBAN – Siri jelajah taklimat PRU14 kepada pengamal media oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dilaksanakan di Negeri Sembilan di Royale Chulan, Seremban, tadi.


Lebih 50 pengamal media terdiri daripada pelbagai agensi, menyertai sesi taklimat itu, bermula jam 9 pagi hingga 1 petang, yang disampaikan oleh Penolong Pengarah Pendidikan Pengundi Akademi Pilihan Raya SPR, Abdul Fatah Mohd Pilus serta Pendaftar akademinya, Nik Aminudin Nik Shahar Shah.


Pada sesi berkenaan, pihak media diberi penerangan berhubung perjalanan sistem pilihan raya yang dilaksanakan negara, di samping prosedur permohonan pas media serta tatacara membuat liputan sepanjang PRU14.


Akademi Pilihan Raya SPR turut melakukan simulasi senario proses pengundian dan pengiraan undi sebenar, yang akan dilakukan di pusat mengundi seluruh negara pada hari pengundian nanti.


Menurut Nik Amiruddin, taklimat ini penting bagi memberi pendedahan kepada pengamal media mengenai perkara-perkara yang boleh dan tidak boleh dilakukan semasa membuat laporan pada hari pengundian.


“Selain memberi gambaran sebenar pada hari membuang undi, pihak media didedahkan penggunaan dakwat pilihan raya yang akan digunakan secara telus, tanpa membolehkan adanya peluang untuk mengundi dua kali.


“Penggunaan dakwat tersebut boleh kekal sehingga tempoh dua minggu, jika dicalitkan atau dicelup dengan jari,” katanya semasa menyampaikan taklimat kepada pengamal media negeri ini, semalam.


Pada sesi tersebut, turut disentuh isu-isu berbangkit setiap kali pilihan raya bagi memperbetulkan persepsi negatif masyarakat terhadap ketelusan SPR seperti dakwaan pengundi hantu, manipulasi daftar pemilih, peti undi serta kebocoran maklumat calon dipilih pengundi pada kertas undi.


Siri jelajah taklimat PRU14 kepada pengamal media selepas ini dijadual ke Perak dan Sabah sebelum berakhir di Sarawak.


#prusinar  #aparakyatmahu


Source: SH Politik

[featured-video-plus]