Rusia usir 60 diplomat Amerika Syarikat

in Global by


MOSCOW – RUSIA. Rusia mengusir 60 diplomat Amerika Syarikat di Moscow semalam dan menutup konsulat di St Petersburg sebagai langkah timbal balik susulan kes bekas perisik yang diserang menggunakan agen saraf di London.


Menteri Luar Rusia Sergei Lavrov berkata, banyak lagi negara lain yang mengusir diplomatnya akan menerima nasib sama.


“Bagi negara – negara lain, mereka akan menerima nasib sama dan jumlah yang perlu meninggalkan Rusia bergantung kepada bilangan individu yang terlibat dalam misi diplomatik mereka,” katanya.


Ini bermakna, Perancis, Jerman dan Poland masing-masing mempunyai empat diplomat di Moscow yang akan diarah keluar, Ukraine 13 diplomat, manakala Denmark, Albania dan Sepanyol masing-masing mempunyai dua petugas kedutaan.


Lavrov menambah, Duta AS John Hunstman telah dimaklumkan tentang langkah timbal balik tersebut dan memberi masa seminggu untuk diplomat mereka meninggalkan Rusia.


Pada 17 Mac, pihak Kremlin mengusir 23 diplomat Britain dan menghentikan segala aktiviti dengan British Council sebagai respons terhadap langkah provokatif Perdana Menteri Britain, Theresa May yang mengusir diplomat Rusia di London tiga hari sebelumnya susulan insiden serangan agen saraf ke atas bekas perisik Sergei Skripal dan anak perempuannya, Yulia di Salisbury, pada 4 Mac lalu.


[ ARTIKEL BERKAITAN: 23 diplomat Britain diisytihar persona non grata ]


[ ARTIKEL BERKAITAN: Britain usir 23 diplomat Rusia ]


Rusia bagaimanapun menegaskan negaranya tidak pernah menghasilkan agen saraf dengan kod nama Novichok dan turut mengesahkan Moscow telah menghapuskan kesemua senjata kimia milik mereka.


Terdahulu, lebih daripada 20 negara telah mengusir diplomat Rusia sebagai tanda solidariti bersama United Kingdom, antaranya Amerika Syarikat yang mengarahkan 60 diplomat Rusia keluar dari negara itu dan menutup konsulat di Seattle.


Sementara itu, Skripal dilaporkan masih berada dalam keadaan kritikal manakala anaknya semakin menunjukkan perkembangan baik. – BBC




 


Source: SH Global

[featured-video-plus]