Syor tubuh Majlis STEM

in Edisi Terengganu by


KUALA NERUS- Kerajaan negeri bercadang untuk menubuhkan Majlis Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) bagi melahirkan lebih ramai pelajar yang mempunyai kemahiran dan penguasaan dalam bidang berkenaan.


Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Sains, Teknologi dan Transformasi Kerajaan negeri, A Latiff Awang berkata, penubuhan Majlis itu juga sebagai persediaan menuju ke arah Transformasi Nasional 2050 (TN50) seiring dengan Revolusi Industri (IR) 4.0.


“Majlis itu nanti akan melibatkan badan pemikir terdiri daripada pakar-pakar dari universiti, pihak industri, Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT) dan sebagainya.


“Kumpulan ini akan merangka dan merancang perkembangan STEM di Terengganu supaya lebih efisien dan berkesan,” katanya.


Beliau berkata demikian ketika ditemui Sinar Harian pada Majlis Watikah Sekolah Angkat STEM Universiti Malaysia Terengganu (UMT) 2018 di Auditorium Mahyudin, di sini, semalam.


Menurut A Latiff lagi, kerajaan sememangnya memandang serius untuk meningkatkan pencapaian pelajar dalam bidang sains dan teknologi.


“Kita percaya dengan tertubuhnya Majlis ini nanti yang akan bertindak sebagai badan penasihat kepada aktiviti STEM berupaya melancarkan lagi usaha untuk melahirkan pelajar yang lebih bersedia menghadapi cabaran pada masa akan datang,” katanya.


Sementara itu, dalam majlis sama, A Latiff turut menyampaikan watikah kepada sembilan sekolah angkat yang terpilih di seluruh Terengganu.


Source: SH Edisi Terengganu

[featured-video-plus]