Yulia Skripal semakin pulih

in Global by


SALISBURY – LONDON. Keadaan Yulia Skripal, anak perempuan bekas perisik Rusia, Sergei Skripal, yang terlibat dalam insiden serangan agen saraf di Salisbury pada 4 Mac lalu dilaporkan semakin baik.


Menurut laporan Hospital Salisbury yang merawat wanita itu, Skirpal sudah sedar dan boleh bercakap serta tidak lagi berada dalam keadaan kritikal, namun masih menerima penjagaan rapi 24 jam sehari.


“Terima kasih kepada kakitangan Hospital Salisbury yang menjaga pesakit dengan baik dalam beberapa minggu ini,” kata Pengarah Perubatan hospital berkenaan, Dr Christine Blanshard.


Wanita berusia 33 tahun itu dan ayahnya dimasukkan ke hospital terbabit empat minggu lalu selepas ditemui tidak sedarkan diri di pusat beli belah Maltings, Salisbury, dipercayai akibat terdedah kepada agen saraf dikenali dengan nama Novichok.


Hasil siasatan forensik mendapati pasangan ayah dan anak itu terdedah kepada agen saraf tersebut yang dipercayai diletakkan di pintu hadapan kediaman Skirpal, sejumlah kecil bahan Novichok turut dikesan di beberapa lokasi lain di sekitar bandar.


Detektif Nick Bailey, seorang pegawai polis yang melakukan siasatan di rumah mangsa turut jatuh sakit dan dirawat hospital namun dibenarkan keluar pada 22 Mac lalu.


Kerajaan Britain menuduh Rusia terlibat dalam insiden terbabit, namun ia dinafikan Moscow.


[ARTIKEL BERKAITAN: Rusia dalang serangan? ]


Susulan insiden terbabit, Perdana Menteri Britain, Theresa May mengumumkan pengusiran 23 diplomat Rusia dari negaranya.


[ARTIKEL BERKAITAN: Britain usir 23 diplomat Rusia ]


Pihak Rusia turut bertindak balas dengan mengarahkan 23 diplomat Britain keluar dari Moscow dan menutup pejabat British Council di negara itu.


[ARTIKEL BERKAITAN: 23 diplomat Britain diisytihar persona non grata ]


Dalam perkembangan berkaitan, lebih 20 negara dilaporkan mengikut jejak langkah Britain sebagai tanda solidariti termasuk Amerika Syarikat yang mengusir 60 diplomat Rusia dari negara Uncle Sam itu.


Terkini, Rusia mengusir 60 diplomat Amerika Syarikat dan menutup konsulat Amerika diĀ  St Petersburg sebagai langkah timbal balik. – BBC


[ARTIKEL BERKAITAN: Rusia usir 60 diplomat Amerika Syarikat ]


Source: SH Global

[featured-video-plus]