BR1M terus kepada golongan sasar

in Edisi by


SEGAMAT – Pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) berupa wang tunai adalah langkah yang dilaksanakan kerajaan dalam usaha untuk menstrukturkan semula dan menambahbaikkan sistem penyampaian subsidi kepada golongan sasaran.


Ahli Parlimen Segamat, Datuk Seri Dr S Subramaniam berkata, pemberian secara tunai ini secara tidak langsung memberi kemudahan kepada penerima selain mampu membantu meningkatkan ekonomi setempat terutama kawasan pedalaman dan luar bandar.


“BR1M sebenarnya dapat menjana ekonomi penduduk seperti golongan peniaga kecil kerana wang diterima akan dibelanjakan untuk beli barangan keperluan melibatkan peniaga setempat.


“Situasi tersebut bukan sahaja sihat kepada iklim ekonomi peniaga setempat, sebaliknya mampu membantu merancakkan ekonomi negara kerana duit tersebut akan dibelanjakan kepada peniaga-peniaga kecil,” katanya.


Beliau berkata demikian selepas Majlis Penyerahan BR1M Parlimen Segamat di Dewan Taman Yayasan, di sini, semalam.


Hadir sama Adun Buloh Kasap, Norshida Ibrahim; Ketua Umno Bahagian Segamat, Senator Datuk Zahari Sarip dan Penolong Pegawai Daerah Segamat, Mohd Fahmi Zakaria.


Menurutnya, dianggarkan 7.2 juta rakyat Malaysia menerima BR1M dengan peruntukan sebanyak RM6.8 bilion.


“Penerima boleh berbelanja secara terus untuk dapatkan barangan keperluan sebaik terima wang BR1M dan dapat mempercepatkan proses menjana ekonomi  libatkan aktiviti jual beli,” katanya.


Source: SH Edisi

[featured-video-plus]