Jangan tersalah pangkah: Ahmad Shabery

in Politik by


SEMPORNA – Ahli Majlis Tertinggi Umno Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek mengingatkan penduduk di daerah ini agar tidak tersalah undi parti pada PRU14 hanya kerana sayang pada seseorang individu.


Ahmad Shabery yang juga Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani berkata, yang kuat itu bukan individu tetapi kerajaan di belakang wakil rakyat tersebut yang sebenarnya membantu rakyat.


“Sebab itu PRU kali ini jangan salah pangkah macam Filem P Ramlee iaitu Ali Baba dan 40 Penyamun, yang pangkah-pangkah tetapi terpangkah tandas dan hasilnya pun dapat isi dalam tandas,” katanya ketika berucap merasmikan Gelombang Nelayan Nasional 2018: Seaweed Splash di Tapak Regatta di sini, hari ini.


Hadir sama pada program itu Adun Senallang Datuk Seri Nasir Sakaran dan Pembantu Menteri Kewangan Sabah merangkap Adun Bugaya Datuk Ramlee Marahaban.


Dalam pada itu, Ahmad Shabery berkata kerajaan Barisan Nasional (BN) merupakan kerajaan kuat yang tidak meminggirkan warga bandar dan luar bandar yang terdiri daripada petani, pesawah dan nelayan.


“Mana ada dalam dunia menyediakan elaun untuk nelayan seperti Malaysia, pembangkang kata beri Bantuan Rakyat 1Malaysia pun dedak dan dalam manifesto pembangkang baru-baru ini satu perkataan menyebut nelayan pun tiada,” katanya lagi.


Beliau dalam pada itu mahu semua anggota Pemuda, Wanita dan Puteri Umno tidak tersalah langkah dan kerap turun padang bertemu rakyat, sahabat handai dan anggota keluarga untuk pastikan sokongan dan undi BN pada PRU14.


“Kita pastikan BN menang besar pada PRU14 ini dan saya pasti Ramlee dan Nasir akan memenangkan kawasan Semporna,” katanya. – Bernama


#prusinar #aparakyatmahu


Source: SH Politik

[featured-video-plus]