Mahu wanita kuasai teknologi terkini

in Nasional by


KUALA KUBU BHARU – “Penguasaan  teknologi  terkini  dalam era ekonomi dan perniagaan digital adalah penting bagi golongan wanita untuk  terus  kekal  berdaya  saing,” kata isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor.


Menurut Yang Dipertua Badan Amal dan Kebajikan Tenaga Isteri-isteri (Bakti) itu, dengan capaian pasaran yang luas dan kos yang lebih rendah, keuntungan dapat diraih berlipat kali ganda kerana  tiada orang tengah.


“Saya yakin pelbagai inisiatif yang disediakan oleh kerajaan Barisan Nasional dalam bidang perniagaan telah membantu wanita memulakan dan seterusnya mengembangkan perniagaan mereka.


“Oleh itu, sempena Program Prihatin Wanita Bakti, saya amat berharap agar para wanita sekalian melibatkan diri dengan aktiviti ekonomi dan rebutlah  peluang yang disediakan untuk mengubah  landskap kehidupan puan-puan sekalian,” katanya pada Program Prihatin Wanita Bakti bersempena Tahun Memperkasa Wanita 2018 di sini, hari ini.


Beliau turut menekankan bahawa wanita sebagai aset yang tinggi nilainya perlu terus menyerlah.


“Sesungguhnya wanita persis mutiara, semakin digilap semakin bersinar cahayanya. Saya penuh yakin wanita akan terus menjadi pemangkin kepada pembangunan negara,” katanya.


Sementara itu,  pada majlis yang sama beliau turut menyampaikan sumbangan di bawah Program Dermasiswa Bakti kepada 100 pelajar dari 10 kawasan parlimen di Selangor dengan masing-masing menerima RM600.


Program dermasiswa tersebut merupakan program tahunan Bakti yang bertujuan memberi bantuan kepada pelajar sekolah menengah yang cemerlang dan berasal daripada keluarga kurang berkemampuan.


Pelajar-pelajar yang layak akan menerima RM600 setahun untuk tempoh dua tahun. -Bernama


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]