Pas Perak lancar manifesto

in Politik by


IPOH – Pas Perak bersama gabungan Gagasan Sejahtera, hari ini melancarkan manifesto PRU14 merangkumi 39 aku janji termasuk tawaran satu lot tapak rumah kepada keluarga berpendapatan rendah dan yang masih belum memiliki rumah.


Kesemua gagasan manifesto bertemakan Perak Sejahtera, Rakyat Bahagia itu dibuat berdasarkan 10 bidang utama iaitu pengurusan dan pentadbiran; agama, pendidikan dan modal insan; ekonomi dan pertanian; kebajikan dan kesihatan;  pengangkutan dan infrastruktur; perumahan dan tanah; khas untuk belia; wanita; kelestarian alam sekitar serta kualiti hidup perbandaran.


Pesuruhjaya Pas Perak, Razman Zakaria berkata, di bawah teras perumahan dan tanah, Pas turut berhasrat mewujudkan kemudahan skim pembiayaan perumahan tanpa faedah kepada kakitangan kerajaan negeri yang berpendapatan rendah.


Menurutnya, turut dijanjikan adalah penubuhan Tabung Amanah Burhanudin Al Helmy (Tabah) bagi membantu rakyat pelbagai bangsa dalam bidang pendidikan, kebajikan, sosial, kesihatan dan rawatan perubatan.


“Tawaran dalam manifesto kali ini merupakan penyelesaian kepada kemelut rakyat yang diselubungi kos sara hidup tinggi baik dari segi pendidikan mahupun pengangkutan.


“Kita ambil masa yang lama untuk menyediakan manifesto ini berbanding negeri-negeri lain kerana ia mengambil kira semua keperluan rakyat dan dibuat ikut kemampuan.


“Perak mempunyai tanah yang luas jadi apa salahnya kita tawarkan tanah kepada rakyat sendiri,” katanya pada majlis pelancaran Manifesto PRU14 Pas Perak di Hotel Kinta Riverfront, hari ini.


Hadir sama, Naib Presiden Pas, Idris Ahmad dan Pengerusi Berjasa Perak, Azhari Abdullah.


Razman berkata, mengambil kira keadaan politik dan krisis utama dalam negara, Pas Perak turut mengetengahkan lima teras dalam sistem pengurusan dan pentadbiran sekiranya diberi mandat mentadbir kerajaan negeri iaitu wibawa, amanah, telus, adil dan kebajikan.


“Kita nak perbaiki kerosakan yang berlaku terutama dalam amalan rasuah, memastikan rakyat mendapat keistimewaan sama rata serta tidak ada pemisahan kuasa berlaku, semuanya harus berteraskan rakyat,” katanya.


Mengulas mengenai persempadanan semula, beliau berkata, usul diluluskan Dewan Rakyat yang turut melibatkan beberapa kawasan di negeri ini memberi keuntungan kepada Pas Perak.


Menurutnya, parti itu melihat akan berlaku perubahan sokongan terutama terutama pengundi Melayu yang bakal memihak kepada Pas.


“Buat masa ini kita yakin sudahpun memiliki 30 ke 35 peratus sokongan undi dan kita harap akan peroleh 5 hingga 10 peratus lagi daripada kalangan swing voters,” katanya.


Ditanya mengenai calon menteri besar, Razman berkata, setiap calon yang bertanding semua mempunyai keupayaan dan layak memimpin kerajaan negeri.


“Pas beza dengan parti lain, kita tak berebut untuk jawatan, siapa pun yang bertanding boleh jadi menteri besar,” katanya.


Source: SH Politik

[featured-video-plus]