Pas tidak lagi kebal di Marang?

in Politik by


MARANG – Umno Marang menyifatkan Pas di kawasan itu bukan sebuah parti yang kuat cuma kemenangan parti itu dalam pilihanraya lalu berpunca daripada Umno dilemahkan ahli parti sendiri.


Timbalan Ketua Umno Bahagian Marang, Datuk Nik Dir Nik Wan Ku juga percaya pada PRU14, Pas tidak lagi kebal dan pengaruh parti itu akan berakhir dalam saingan pilihanraya pada kali ini.


“Persaingan pastinya sengit namun saya yakin BN akan menang kali ini. Keyakinan ini berdasarkan tahap perpaduan dalam parti bersama semangat, komitmen ditunjukkan semua jentera parti.


“Ini termasuklah sayap wanita dan puteri serta veteran Umno yang konsisten berada pada tahap tinggi,” katanya  ketika ditemui Sinar Harian.


Beliau berkata, Umno di Rhu Rendang juga tidak pernah serik dengan kekalahan yang dialami pada PRU lalu dan tidak pernah berpaling muka atau mengabaikan khidmat sosial terhadap rakyat.


“Malah kita terus berusaha menunaikan tanggungjawab agar kawasan ini terus mendapat pembelaan terutama dalam penyediaan prasarana lebih baik,” katanya yang juga Pegawai Penye­la­ras Dun Rhu Rendang.


Beliau berkata, selepas berakhir PRU13 beliau bersama jentera secara berterusan telah turun padang, mendekati dan bertemu segenap lapisan masyarakat termasuk golongan muda sehingga kini.


“Kita telah mula bergerak mengikut beberapa fasa yang dirancang dengan melibatkan kerja-kerja menyentuh hati rakyat di Dun Rhu Rendang di samping menyusun semula mana-mana program yang terbengkalai.


“Kita menyelami kehidupan mereka, tidak kira fahaman politik mereka, melihat agar mereka yang berhak mendapat pem­belaan dan bantuan tidak tersisih menerima bantuan kerajaan,” katanya.


Malah, katanya, sepanjang tahun lalu, 33 keluarga di Rusila turut menerima bantuan membabitkan baik pulih rumah dan atap dengan perbelanjaan hampir RM2 juta di samping 100 penduduk uzur turut dibantu.


“Berdasarkan reaksi rakyat, saya percaya Rhu Rendang akan menjadi milik BN dengan bantuan hampir 10,000 ahli Umno, pengundi atas pagar dan pengundi Pas yang tidak berpuas hati dengan parti mereka.


“Kita bersaing dalam politik bukan untuk bermusuhan tetapi dengan hasrat menawarkan khidmat dengan banyak kebaikan untuk dibawakan kepada masyarakat setempat apabila diberi kepercayaan,” katanya.


Dun Rhu Rendang dan Parlimen Marang dianggap kawasan kubu paling kuat Pas di Terengganu apabila kerusi tersebut dikuasai oleh Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.


#prusinar #aparakyatmahu


Source: SH Politik

[featured-video-plus]