Pasar Besar Seremban siap enam bulan lagi

in Edisi Melaka Negeri Sembilan by


SEREMBAN – Pasar Besar Seremban yang musnah akibat kebakaran pada September tahun lalu, dijangka siap sepenuhnya pada Oktober ini.


Ketua Pemuda MCA, Datuk Chong Sin Woon berkata, kerja-kerja pembaikan kini berada di tahap yang memuaskan dan dijangka akan siap sepenuhnya pada bulan Oktober ini.


Beliau yang juga merupakan calon Parlimen Seremban memberitahu, sebanyak 300 unit gerai akan disediakan dengan merangkumi tiga bahagian berbeza.


“Sebanyak 300 unit gerai baru akan dibina semula merangkumi tiga segmen  antaranya bahagian kedai makanan dan pakaian, jualan basah serta jualan bahan kering seperti bawang, telur dan alat permainan.


“Kesemua itu akan dibangunkan semula bagi membolehkan peniaga berniaga dengan lebih selesa dan terurus berbanding sebelum ini, kesemua peniaga itu akan diuruskan oleh Majlis Perbandaran Seremban.


“Kini kerja-kerja baik pulih sedang giat dijalankan dan kita jangka pada awal bulan Oktober, semuanya sudah siap sepenuhnya,” katanya.


Beliau berkata demikian semasa meninjau kerja-kerja pembaikan Pasar Besar Seremban di sini, semalam.


Ujarnya, dua unit lif turut dibina di pintu utama yang berkapasiti lima belas orang dewasa, bagi memudahkan warga emas untuk ke tingkat atas.


Beliau berharap agar kerja-kerja pembinaan semula ini berjalan dengan lancar supaya pasar besar ini kembali beroperasi semula seperti biasa.


Pada 9 September tahun lalu, Pasar Besar Seremban terbakar menyebabkan keseluruhan tingkat satu musnah dengan melibatkan sebanyak 197 gerai.


Berikutan itu, kerajaan Negeri memperuntukkan RM6 juta bagi projek menaik taraf bahagian yang musnah tersebut.


Buat masa ini, kesemua peniaga yang terlibat berniaga di perkarangan parkir Pasar Besar Seremban itu, sementara menunggu kerja-kerja pembaikan siap sepenuhnya.


Source: SH Edisi Melaka NS

[featured-video-plus]